Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Batal debat Mahathir-Nazri bukti PM takut

 

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 3 APR: Pembatalan majlis debat antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, membuktikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bimbang kemungkinan ia bakal menjejaskan pentadbiran negara diterajuinya.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, debat itu akan digunakan Dr Mahathir bagi mendedahkan segala skandal membelenggu pentadbiran Najib termasuk 1Malaysia Development Berhad (1MDB) maka pembatalan dibuat biarpun dengan alasan tidak munasabah.

“Saya tidak faham mengapa permit itu dibatalkan kerana alasan diberikan amat tidak munasabah, kononnya ada penduduk membantah sedangkan kawasan itu tidak berdekatan dengan perumahan dan ianya berada di dalam satu bangunan, bukan tempat terbuka.

AZMIN ALi“Ini sekali lagi membuktikan Perdana Menteri amat takut sekiranya Dr Mahathir membongkar skandal 1MDB dengan bukti lebih kuat dan kukuh,” katanya kepada media di sini, semalam.

Beliau berkata, pembatalan majlis itu jelas menggambarkan keadaan itu kerana sekiranya Naib yakin ia tidak akan menjejaskan pentadbiran atau kewibawaannya, pasti beliau tidak menghalang debat berkenaan.

Penganjuran debat di antara mantan Perdana Menteri serta Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu sepatutnya berlangsung di Krangkraf Sdn Bhd, di sini, 7 April ini.

Sinar Harian Online memaklumkan ia ekoran pembatalan permit kebenaran oleh polis.

Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub turut memohon maaf di atas pembatalan debat yang sebelum ini diluluskan.

Sinar Harian bertindak menganjurkan majlis itu selepas polis turut tidak meluluskan debat antara Dr Mahathir dan Nazri di Padang Rengas, Perak, 25 Mac lalu.