Categories
GLOBAL

Trump selar Korea Utara tak hormat China

WASHINGTON, 29 APRIL: Korea Utara didakwa “tidak menghormati” China apabila melancarkan satu lagi peluru berpandu balistik hari ini, kata Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Kenyataan itu dikeluarkan menerusi posting di Twitternya, @realDonaldTrump, pada jam 7.26 pagi tadi, lapor AP.

Trump berkata, beliau mengharapkan Presiden China, Xi Jinping untuk menggalakkan Korea Utara melepaskan usaha program peluru berpandu dan senjata nuklear balistik.

Beliau turut mengancam untuk melakukannya secara sendirian jika Xi gagal berbuat demikian.

Trump yang baru pulang dari lawatan sehari ke Atlanta juga tidak menjawab soalan pemberita berkenaan pelancaran peluru berpandu sebaik tiba di Rumah Putih.

Terdahulu, tentera Korea Selatan berkata, negara itu sudah melepaskan peluru berpandu berhampiran ibu kota Pyongyang, namun tiada butiran lanjut diberikan.