Categories
AGENDA NASIONAL

Pelajar tahfiz maut, tiga remaja direman hingga Khamis

KUANTAN, 9 NOV: Tiga remaja yang dipercayai terlibat dengan kes kematian seorang pelajar cilik pusat tahfiz, Mohammad Aimin Nurul Amin yang berumur tujuh tahun Khamis lepas, kini direman sehingga sehingga Khamis ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang Datuk Othman Nanyan yang memaklumkan perkara itu semasa dihubungi di sini hari ini bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

Mohammad Aimin disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Klinik Kesihatan Lanchang, Temerloh dekat sini selepas ditemukan dalam keadaan lemah di pusat tahfiz di Kampung Kuala Kaung, Lanchang itu.

Othman sebelum ini, mengesahkan pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan lebam pada tubuh arwah, yang baharu dihantar ke pusat tahfiz itu pada pertengahan Oktober lalu bersama-sama abang tirinya.

Sementara itu Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan ketika dihubungi mengesahkan pusat tahfiz berkenaan tidak pernah mengemukakan permohonan kepada pihaknya sejak mula beroperasi awal tahun ini dan mengarahkan pusat tahfiz itu ditutup hari ini.

Katanya MUIP yang membuat lawatan ke pusat tahfiz itu mendapati ia yang diusahakan oleh satu pasangan suami isteri, dan terdapat 14 pelajar belajar di situ, namun 10 pelajarnya berulang-alik setiap hari.

“Kami mendapati pusat tahfiz itu tidak menepati syarat dan kriteria yang diwajibkan bagi membuka pusat tahfiz termasuk dalam aspek keselamatan.

“Malah, jika diikutkan pusat tahfiz yang mahu mengambil pelajar kanak-kanak yang berusia tujuh tahun perlu mematuhi pelbagai syarat lain kerana mereka masih dianggap terlalu muda untuk menguruskan diri sendiri,” katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.

Selain keadaan pusat tahfiz tidak mengikut piawaian, Wan Abdul Wahid berkata kredibiliti dan kelayakan satu-satunya tenaga pengajar di pusat tahfiz itu juga boleh dipersoalkan kerana pengajar itu tidak dapat dipantau ekoran tahfiz berkenaan yang tidak berdaftar.

“Kita perlu pastikan ajaran yang dibawa adalah selari dengan amalan di negara ini, selain itu sekiranya ia melibatkan pelajar usia muda, subjek pendidikan adalah lebih meluas dan bukan hanya menghafal al-Quran semata-mata.

“Sebab itu, penting untuk ibu bapa mencari pusat tahfiz yang berdaftar bagi anak mereka supaya pendidikan yang diperoleh adalah menyeluruh untuk masa depan mereka,” katanya.

Wan Abdul Wahid berkata tindakan tegas menutup mana-mana pusat tahfiz tidak berdaftar di Pahang juga akan mula dikuatkuasakan mulai tahun hadapan, mengambil kira aspek keselamatan dan kebajikan pelajar.

Katanya beliau berharap orang ramai tidak mudah menyerahkan tanah sebagai wakaf kepada mana-mana individu yang berhasrat membuka pusat tahfiz kerana ia menambah lagi kepada masalah pusat tahfiz yang tidak berdaftar.

Beliau berkata walaupun tindakan wakaf itu memang dibuat dengan niat baik, namun cara yang sebetulnya ialah dengan menyerahkan wakaf itu kepada majlis agama Islam supaya dapat ditadbir dengan lebih sempurna baik.

“Jika niat mahu membuka pusat tahfiz, maklumkan sahaja kepada MUIP semasa menyerahkan wakaf kerana ia lebih berterusan di bawah pentadbiran majlis.

“Sekiranya diwakaf kepada individu, dikhuatiri wakaf itu tidak bersifat berterusan jika pemilik baharu tidak meneruskan pusat tahfiz itu atas sebab-sebab tertentu pada masa hadapan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Pembantu warden tahfiz direman semula

SHAH ALAM, 29 APRIL: Pembantu warden lelaki di pusat tahfiz di Kota Tinggi, Johor Bahru yang ditahan kerana disyaki mendera seorang pelajar di situ, direman semula hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, reman dikeluarkan Mahkamah Majistret Kota Tinggi bagi membolehkan suspek disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Reman tujuh hari itu bermula hari ini hingga 3 Mei depan,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, suspek direman empat hari mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, sebelum disambung lagi tempoh remannya selama tiga hari.

Lelaki berusia 29 tahun itu ditahan di rumahnya di Felda Lok Heng Barat, Kota Tinggi jam 4 petang, pada Sabtu lalu selepas ibu mangsa membuat laporan polis.

Dalam kejadian itu, Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi, 11, dipukul dengan paip getah hingga menyebabkan kecederaan pada kedua kakinya.

Mohamad Thaqif kemudian dipotong kedua belah kaki hingga paras paha ekoran dijangkiti kuman setelah dipercayai didera pembantu warden berkenaan.

Mangsa meninggal dunia pada jam 2.05 petang, Rabu lalu di Hospital Sultan Ismail dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Bukit Aping Timur, pada malam hari yang sama.

Sumber: BERNAMA

Categories
SELANGOR

Sultan Selangor Rasmi Masjid Bandar Baru Sungai Buloh Bernilai RM4.1 Juta

DYMM Rasmi Masjid 02

PETALING JAYA 17 JULAI : DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan merasmikan Masjid di Bandar Baru Sungai Buloh di sini sempena Majlis Berbuka Puasa DYMM Sultan Selangor Bersama Rakyat di sini.

Bangunan masjid ini dibina oleh Syarikat MK Land dengan kos RM4.1 juta dan mampu menampung sehingga 5,000 jemaah di mana masjid ini juga dikenali sebagai Masjid Kuning kerana kubahnya berwarna kuning.

Sultan Sharafuddin juga turut berkenan menamakan masjid itu dengan nama Masjid Bandar Baru Sungai Buloh.

Pada kesempatan yang sama, Baginda perkenan menyampaikan sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada kira-kira 302 daripada kalangan Asnaf anak yatim, fakir-miskin, saudara baru dan pelajar tahfiz.

DYMM Rasmi Masjid 01

Sementara itu, Pengerusi Gapurna, Tan Sri Abdul Halim Ali dalam ucapannya berkata, syarikat itu turut memberi sumbangan daripada segi kewangan dan material untuk kerja-kerja menaiktarafkan masjid itu.

“Antara kerja naik taraf itu termasuk kerja mengecat dinding masjid, membaik pulih tempat wuduk dan tandas, menukar lampu kalimantan dan lampu limpah untuk mimbar, memasang dan menggantikan sistem pembesar suara.

“Turut dipasang adalah kipas helikopter pada ruang masjid utama dan pemasangan tangki tambahan berdasarkan daripada senarai keutamaan keperluan yang disediakan Jawatankuasa Masjid,” kata beliau.

Turut mengiringi Sultan Selangor pada majlis itu Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Khusrin Munawi dan Pengarah JAIS, Datuk Marzuki Husin.

DYMM Rasmi Masjid 03