Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Pentadbiran cemerlang PAKATAN bukti mampu ambil alih Putrajaya

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 1 APR: Kecemerlangan pentadbiran Kerajaan Selangor dengan pencapaian ekonomi membanggakan membuktikan PAKATAN berkemampuan mengambilalih pentadbiran negara di Putrajaya, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) ini.

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pentadbiran Kerajaan Negeri yang ditunjangi penuh berintegriti dan tanggungjawab itu membabitkan kesepakatan semua parti di dalam PAKATAN dan diakui Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER).

Malah, katanya, keupayaan dengan pentadbiran cemerlang dicapai termasuk di Pulau Pinang seharusnya dipergunakan bagi meraih kepercayaan rakyat untuk mendapatkan mandat bagi perubahan tampuk pemerintahan negara.

MB KONVENSYEN PKR WP (28)“Kita harus melihat politik ini bukan sekadar memburu kuasa tetapi membina sebuah kerajaan bagi menwujudkan urus tadbir yang baik dan berintegriti serta dapat memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.

“Contohnya ada di Selangor dan Pulau Pinang, jika kita berjaya mentadbir dua negeri termaju ini, maka rakyat yakin kita boleh pimpin Putrajaya dalam PRU akan datang,” katanya dalam Konvensyen KEADILAN Wilayah Persekutuan, di sini, hari ini.

Dato’ Menter Besar Selangor itu mewakili Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bagi menyempurnakan perasmian konvensyen berkenaan.

Beliau berkata, Selangor mencatatkan pertumbuhan ekonomi membanggakan dan kekal sebagai penyumbang terbesar sebanyak 25 peratus bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

“Selangor menyumbangkan RM240 bilion setahun kepada Kerajaan Persekutuan tetapi mendapat sumbangan semula, pada kadar 1.75 peratus.

“Kerajaan Persekutuan bertanggungjawab serah balik apa yang kita berikan. Kita bagi RM240 bilion bukan nak minta balik jumlah sama tetapi biarlah satu jumlah yang munasabah sekurang-kurangnya 10 peratus.

“Peruntukan lain beri kepada negeri lain yang masih merangkak, biar Selangor bantu negeri di bawah Umno-BN,” katanya.

-NFN-