Categories
NASIONAL

PAKATAN bincang agihan kerusi hadapi PRU-14

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 1 APR: Pakatan Harapan (PAKATAN) kini dalam proses perbincangan memuktamadkan pengagihan kerusi antara semua parti dalam gabungan itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14).

MB KONVENSYEN PKR WP (22)Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, perbincangan diadakan berjalan lancar membabitkan semua parti, KEADILAN, DAP dan AMANAH termasuk BERSATU yang menyertai PAKATAN, baru-baru ini.

“Selepas BERSATU diterima, maka perbincangan sudah berjalan dan kita akan lihat bagaimana pembahagian ini diadakan kerana pasti terdapat kawasan yang bersih serta bertindih. Kita akan bincangkan perkara ini antara parti.

“Kita memang menyasarkan tiada pertindihan seperti 2013 yang memang tiada kawasan bertindih dan kita selesaikan semua, maka sedapat mungkin keputusan di peringkat pusat harus disepakati negeri supaya tidak timbul masalah,” katanya selepas Konvensyen KEADILAN Wilayah Persekutuan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, proses perbincangan itu berterusan dan memberi ruang secukupnya kepada semua parti bagi membuat keputusan dengan tiada tempoh masa ditetapkan supaya tidak ada tekanan dirasai semua pihak.

Katanya, bagi melancarkan perbincangan, PAKATAN turut menubuhkan jawatankuasa teknikal bagi membincangkan perkara itu termasuk perkara lain seperti manifesto bersama, pendaftaran PAKATAN dan cadangan logo baru.

“Jawatankuasa ini seperti jawatankuasa manifesto bersama sudah bermesyuarat beberapa kali dan progresnya sangat baik.

“Berkenaan pendaftaran, PAKATAN dalam proses melengkapkan dokumentasi untuk permohonan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) dan kita yakin akan kelulusannya,” katanya.

-NFN-