Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

SKORA pupuk kesedaran generasi muda hargai harta awam

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PUCHONG, 27 APR: Inisiatif mendidik generasi muda menghargai harta awam dalam komuniti kediaman bertingkat dijalankan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) melalui penganjuran program Skim Pengenalan Pengurusan Kehidupan Strata (SKORA).

Program usahasama Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) itu mensasarka pelajar menengah berusia 13 hingga 17 tahun bagi memupuk kesedaran kepada mereka berkenaan tanggungjawab memelihara harta bersama.

Menepati objektif utamanya, penganjuran program julung kalinya itu diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan(SMK) Puchong Permai, Taman Puchong Prima, di sini, hari ini.

SKORA (2)Pengisiannya, pelajar didedahkan dengan aktiviti santai, program bual bicara, seminar pendidikan, taklimat kesihatan, pameran juga kuiz oleh selebriti tempatan iaitu PU Rahmat dan Heliza Helmi.

Program turut diserikan dengan kehadiran Ketua Penolong Pengarah LPHS, Khairul Azam Saroni; Pengarah Jabatan COB MPSJ, Muhd Hasnizam Hassan dan Pengetua SMK Puchong Permai, Rahmah Yusah.

Sementara itu, program SKORA dilaksanakan secara bersiri membabitkan penglibatan sekolah terpilih seluruh negeri, sehingga tahun ini.

Kriteria pemilihan sekolah dibuat atas justifikasi pembangunan pangsapuri pesat di kawasan persekitaran dn 80 peratus sekolah mendiami atau menyewa pangsapuri.

Terdahulu, LPHS dalam kenyataannya memaklumkan, 70 peratus pelajar memahami konsep asas perundangan rumah bertingkat selepas didedahkan melalui program itu.

Ia susulan keberkesanan daripada manfaat positif pelaksanaan program itu di peringkat sekolah di seluruh negeri.

SKORA yang dilaksanakan sejak 2015 adalah penjenamaan semula Program Kempen Pangsapuri Kita Bersih, Ceria dan Harmoni (BCH) yang dianjurkan bersama LPHS, pihak berkuasa tempatan, jabatan pendidikan negeri dan sekolah terpilih.