Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor kekal keputusan UPKK tertinggi

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 27 APR: Selangor kekal mencapai kedudukan tertinggi dalam keputusan peperiksaan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) bagi kategori Negeri Terbaik dengan pencapaian Gred Purata Negeri (GPN) 4.1.

Ketua Sektor Pengurusan Pendidikan, Mohd Jaafar Komari berkata, Selangor juga dinobat sebagai negeri paling ramai calon yang mendapat agregat 8A iaitu 7,955 (30.49 peratus) yang diumumkan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), baru-baru ini.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepaa JAKIM kerana memberi peluang kepada pelajar Sekolah Rendah Agama (SRA) dan Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) untuk turut mengambil ujian UPKK, tahun lalu.

“Pembabitan SRA dan SRI dalam UPKK menyumbang kepada peningkatan kecemerlangan UPKK negeri daripada sudut kuantiti serta kualiti calon.

UPKK (3)“Justeru, saya menyeru lebih banyak lagi sekolah SRA dan SRI Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengambil peluang sebaik mungkin, tahun ini,” katanya mewakili Pengarah JAIS, Datuk Haris Kasim.

Beliau berkata demikian ketika perasmian Majlis Anugerah Kecemerlangan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK), Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Sijil Tinggi Agama MAlaysia (STAM), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi 2016 di Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Jemaah (SAMTTAJ), di sini, hari ini.

Pada masa sama, katanya, pencapaian UPSR di SRAI terdapat 985 calon mencapai GPN 2.0 dengan peratus kelulusan 94.92 peratus.

“Cabaran tahun lalu apabila berlaku perubahan format ujian dari 5A kepada 6A dengan penambahan kertas Bahasa Inggeris dan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).

“Saya berharap warga SRAI JAIS terus berusaha menggilap potensi murid supaya terus cemerlang dalam bidang akademik, di samping tidak mengabaikan aspek sahsiah,” katanya.