Categories
SELANGOR

Tiada perbincangan, Persekutuan bertindak ala ‘lanun’ langgar MBPJ

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUBANG, 23 APRIL: Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tidak bertindak profesional apabila bertindak ala ‘lanun’ dan bukan bertindak sebagai sebuah kerajaan.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, hal ini boleh dilihat dengan tindakan KPKT membuka pejabat pengurusan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Putra Damai tanpa mempedulikan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang menguruskan perumahan terlibat.

“Tidak ada pertemuan sebab mereka telah mengambil tindakan tidak mahu berunding dengan Kerajaan Negeri dan merusuh masuk ke kawasan ini macam ‘lanun’ membuka pejabat pengurusan tanpa kebenaran MBPJ.

“Ini bukan cara berurusan kerajaan dengan kerajaan. Sebagai Menteri, sepatutnya mesti menghormati undang-undang dan kita boleh duduk bincang,” katanya.

Mohamed Azmin berkata demikian kepada media di Program Turun Padang Dato’ Menteri Besar Selangor ke PPR Taman Putra Damai (Lembah Subang 1) di sini, semalam.

Jelasnya, tindakan tidak profesional Kerajaan Persekutuan itu berlaku pada tahun lepas.

Katanya, walaupun beliau dan Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar Selangor, Dato’ Iskandar Samad memberi jaminan sedia berbincang isu pengambilalihan dengan Kerajaan Persekutuan.

Katanya lagi, proses pengambilalihan sepatutnya dijalankan mengikut undang-undang dan memerlukan perjanjian penyerahan yang dipersetujui semua pihak terlibat.

=EZY=