Categories
NASIONAL

Tubuh Jawatankuasa Khas kaji semula Akta 164

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 4 APRIL: Kerajaan Persekutuan perlu mengkaji semula Akta 164 dengan menubuhkan Jawatankuasa Khas ekoran implikasi menyeluruh yang bakal timbul ekoran akta itu.

Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Akta 164 ini secara langsung berkaitan terhadap hak kekeluargaan Islam di mahkamah sivil, status agama anak, hak penjagaan, nafkah dan pengagihan harta.

“Kita berpandangan implikasi menyeluruh bakal timbul daripada Akta 164 ini serius, iaitu terhadap kebebasan umat Islam mengamalkan agama mereka dan mempertahankan aqidah tanpa gangguan.

“Akta 164 dicadang dikaji semula secara mendalam, menerusi pembentukan Jawatankuasa Khas untuk merangka dan mengemukakan satu penyelesaian lain yang lebih adil, menyeluruh dan inklusif,” katanya.

Katanya, jawatankuasa ini perlu melibatkan semua pihak berkepentingan sama ada daripada kalangan penganut Islam dan juga agama-agama lain.

Ia bagi mendapatkan pandangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, pengamal undang-undang syariah dan sivil, pihak badan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya yang merupakan pihak yang terkesan secara langsung dalam pindaan Akta 164 ini.

Menerusi Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat pada hari ini, pihak Kerajaan Persekutuan dalam proses untuk meneruskan bacaan kali kedua Rang Undang-Undang Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) (Pindaan) 2016 yang juga dikenali kini sebagai Akta 164.

=EZY=