Categories
SELANGOR

MPAJ disaran tambah kiosk galak perniagaan

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 7 APRIL: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) disaran menambah kiosk perniagaan di Taman Chempaka bagi membantu masyarakat mencari sumber pendapatan.

Ahli Dewan Negeri Chempaka, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, setakat ini teradapat enam kiosk yang dibuka untuk tiga sesi perniagaan iaitu pagi, tengah hari dan petang.

“Saya harap MPAJ boleh mengkaji semula untuk menambah beberapa kiosk bagi memberi peluang kepada individu yang ingin berniaga dan mencari sumber pendapatan memandangkan keadaan ekonomi yang semakin menekan.

“Ini kerana saya menerima banyak permohonan daripada masyarakat yang ingin menjalankan perniagaan. Saya juga menyarankan MPAJ memberi keutamaan kepada peniaga individu berbanding cawangan,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

17799322_1489767937740051_7675767878254280700_nPada masa sama, Iskandar yang juga Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar berkata, beliau turut menerima aduan terdapat empat gerai yang dipercayai tidak membayar lesen turut menjalankan perniagaan berhampiran kiosk berkenaan.

“Dipercayai gerai terbabit tidak membayar sewa RM5 kepada MAPJ bagi setiap satu sesi sehari.

“Walaubagaimanapun, MPAJ sudah mengeluarkan notis saman dan tindakan sitaan ke atas gerai itu, pada Mac lalu,” katanya.

Sebelum itu, Iskandar bersama ahli majlis dan pegawai Pusat Khidmat ADN Chempaka meluangkan masa bertemu dan mendengar masalah penjaja di Jalan Chempaka 8, Taman Chempaka, Ampang.

-AA-