Categories
SELANGOR

Bekalan barangan cukup sepanjang Ramadan

SHAH ALAM, 22 MEI: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Selangor memberi jaminan bekalan barangan keperluan di negeri itu mencukupi sepanjang Ramadan.

pasar-29Pengarahnya, Datuk Abdul Ghariff Ramin berkata, FAMA juga sudah menyediakan stok simpanan untuk beberapa barangan keperluan seperti ikan, ayam, kelapa dan daging.

“Berdasarkan pengalaman lalu, bekalan barangan selalu mengalami kekurangan ketika Ramadan dan menjelang hari raya akibat penambahan permintaan daripada pengguna.

“Stok yang FAMA sediakan ini akan digunakan bagi mengimbangi pasaran bagi mengelakkan harga barangan ini naik dan membebankan pengguna,” katanya memetik Bernama.

Abdul Ghariff berkata, FAMA juga akan melakukan pengawasan di semua 60 pasar tani kendaliannya di Selangor supaya tiada peniaga menaikkan harga jualan sesuka hati.

“Saya juga ingin menasihatkan pengguna supaya mengemukakan aduan kepada FAMA jika ada peniaga pasar tani kami yang menaikkan harga,” katanya.