Categories
SELANGOR SUKANKINI

Cub Prix: Tengku Amirul belum pasti turun beraksi di Kemaman

SHAH ALAM 2 MEI: Pencabar utama kategori CP115, Tengku Amirul Haffirudin Tengku Hanafi, 21, belum pasti sama ada bakal turun beraksi pada pusingan ketiga Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang akan berlangsung di Kemaman, Terengganu, 5 dan 6 Mei ini setelah terlibat dengan kemalangan jalan raya, baru-baru ini.

Pengurus pasukan Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing, Pang Yoke You menjelaskan keputusan terletak di tangan Tengku Amirul sendiri sama ada mahu beraksi di negeri kelahirannya atau mengambil keputusan untuk berehat dan tidak menyertai perlumbaan minggu ini.

“Kami ada menghubungi Tengku Amirul bertanyakan tentang keadaannya. Tentang perlumbaan, menyerahkan kepadanya sendiri sama ada ingin beraksi ataupun tidak.

“Lagipun perlumbaan minggu ini berlangsung di Terengganu, tidak jauh dari kediamannya dan kami tidak mempunyai masalah jika dia membuat keputusan di saat akhir,” jelasnya.

Tambahnya, dia tidak mahu meletakkan sebarang tekanan kepada Tengku Amirul.

“Dari segi fizikal dia tidak mengalami masalah, namun mungkin tumpuannya agak terganggu akibat kemalangan tersebut dan tidak dapat memberi sepenuh tumpuan ketika di litar nanti.

“Sekarang kami mendoakan dan berharap dia dan keluarga pulih sepenuhnya,” katanya.

Tengku Amirul dan lima ahli keluarga terlibat dalam kemalangan di kilometer 253.5, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2) dekat Cheneh, ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Dungun apabila kereta yang dipandunya terbabas sebelum merempuh besi penghadang lebuh raya pada 25 April lalu.

Dalam kemalangan tersebut, Tengku Amirul dan isteri serta dua adiknya menerima rawatan pesakit luar manakala bapa, Tengku Hanafi Tengku Hasan, 45, dan ibunya, Rosmah Ibrahim, 44, dimasukkan ke hospital kerana mengalami kecederaan di bahagian kepala.

Selepas dua pusingan, Tengku Amirul kini menghuni tangga keempat dalam senarai keseluruhan kelas CP115 dengan 26 mata, 24 mata di belakang pendahulu, Md Akid Aziz (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor) yang mengumpul 50 mata.

=EZY=