Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

KUIS & KITTIS tandatangani MOU perkukuh kerjasama

OLEH HAFIZAN TAIB

BANDAR SERI PUTRA, 2 MEI: Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Kolej Integrasi Tahfiz Tunas Islam Selangor (KITTIS) bagi menjalin kerjasama memperkasakan sistem pendidikan Islam di Selangor.

Rektor KUIS, Prof Dato’ Ab Halim Tamuri berkata, pihaknya merakamkan penghargaan di atas kesudian KITTIS bekerjasama dalam usaha berkenaan dan ia pasti memberi kebaikan kepada pelajar.

“Kedua-dua pihak akan membentuk jaringan kerjasama akademik dalam memperkasakan sistem pendidikan Islam di Selangor,” katanya.

Majlis MoU berlangsung dalam Konvokesyen Pelajar Kursus Jangka Pendek Sijil Ikhtisas Perguruan Yayasan Pendidikan Islam Selangor (YAPIS)-KUIS, di sini, baru-baru ini, disertai 24 orang guru KITTIS dan Sekolah Agama Rakyat (SAR) di bawah seliaan YAPIS dengan kerjasama Fakulti Pendidikan KUIS.

Dalam majlis sama, KUIS dan YAPIS turut menandatangani dua memorandum perjanjian bagi usahasama dalam latihan perguruan jangka pendek dan pembangunan modul.

Hasil perbincangan bersama, Ab Halim menjelaskan KITTIS dan YAPIS bersetuju untuk terus melebarkan dan mempelbagaikan jaringan kerjasama dalam pelbagai program.

“Ia merangkumi program mobiliti, pembangunan mahasiswa, penganjuran seminar dan konvensyen, penerbitan jurnal serta penyelidikan yang dapat memberikan impak positif kepada kedua-dua pihak,” katanya.

Turut hadir, Exco Hal Eh wal Agama Islam, Adat Melayu & Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi; Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah YAPIS, Dr Halimah Ali; Pengerusi Majlis Permuafakatan Pendidikan Islam Selangor (MAPPIS) dan KITTIS, Prof Zainal Abidin Kidam; Ahli Lembaga Pengarah YAPIS, Noor Hanim Ismail, Timbalan Rekotr Akaademik dan Penyelidikan KUIS, Dr Mokmin Basri serta hadirin lain.

=EZY=