Categories
GLOBAL

Harga minyak mentah menjunam

SHAH ALAM, 1 MEI: Minyak mentah Amerika Syarikat (AS) jatuh 5.06 peratus kepada AS$45.40 setong dan Brent berada pada paras AS$48.35, turun 4.8 peratus, lapor Reuters.

Penganalisis Kanan Tenaga Interfax Energy, Global Gas Analytics, Abhishek Kumar dilaporkan sebagai berkata, perkembangan itu sekali gus menghapuskan sepenuhnya keuntungan yang diperolehi akhir November lalu.

Katanya, kejatuhan itu juga adalah pada paras paling rendah sejak akhir November selepas OPEC dan negara pengeluar lain dijangka tidak akan melaksanakan beberapa langkah lebih drastik mengurangkan lebihan bekalan minyak dunia.

“Walaupun OPEC dijangka meneruskan pengurangan pengeluaran sendiri bagi tempoh enam bulan akan datang, ia akan menjadi cabaran untuk ahli bukan OPEC menjejaki langkah sama.

“Pertumbuhan berterusan pengeluaran minyak AS akan turut menyaksikan kemungkinan lanjutan pengurangan bekalan OPEC melangkaui 2017 untuk tidak berlaku,” katanya.