Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan Sharafuddin lawat premis produk IKS

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SEKINCHAN, 22 MEI: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mencemar duli melihat pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) seiring perkembangan produk berkenaan yang giat dibangunkan di negeri itu.

Ia dizahirkan secara konsisten melalui tinjauan baginda ke Wisma Masri, Pusat Operasi Pengeluaran Bahulu Masri bersama Tengku Permaisuri, Tengku Norashikin, hari ini.

Diiringi Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan delegasi pimpinan Kerajaan Negeri, baginda turut berkenan mencemar duli melawat kawasan pengeluaran bahulu seterusnya ke gerai pameran produk IKS negeri di perkarangan wisma itu.

Terdahulu, baginda tiba di Sekinchan awal pagi ini sempena lawatan rasmi ke daerah itu membabitkan beberapa lawatan ke premis perindustrian sebelumnya.

SULTAN SEKINCHAN (7)Pada masa sama, baginda turut berkenan menghadiri Majlis Santapan dan Jamuan Rakyat sebagai mengakhiri lawatan rasmi ke Sekinchan.

Sebelum ini, perkembangan produk IKS terus diperkukuhkan melalui pelaksanaan dasar penjenamaan ‘Made In Selangor’.

Konsep dibawa melalui aktiviti pengkomersialan bagi memberi nafas baru perindustrian IKS untuk diolah supaya menjadi hab pengumpulan produk menarik dan terkini.

Inisiatif itu dilaksanakan bersama HIJRAH Selangor untuk merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri bagi terus menyokong usahawan mikro berniaga, sekali gus dapat menjalin jaringan perniagaan sesama usahawan.