Categories
SELANGOR

JMNS jabatan mufti pertama ikrar bebas rasuah

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 12 MEI: Jabatan Mufti Negeri Selangor (JMNS) menjadi jabatan mufti pertama di Malaysia yang berani menyahut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR).

Pengarah SPRM Selangor, Dato’ Wan Ramli Wan Abdullah berkata, tindakan kepimpinan dan warga JMNS menyertai program IBR jelas memperlihatkan kesungguhan berkhidmat dalam suasana kerja kondusif dan bebas rasuah.

“IBR kali ini agak unik dan berbeza berbanding IBR korporat kerana ia memberi penekanan kepada ikrar serta janji pimpinan JMNS dan warganya dalam kapasiti individu untuk menjungjung tanggungjawab serta akauntabiliti bagi menjauhi serta menghindari diri daripada terlibat dengan sebarang godaan rasuah dan salahguna kuasa.

MUFTI SPRM“Aspirasi dan kesedaran ini harus dipuji serta menjadi ikutan dan contoh kepada agensi kerajaan lain,” katanya dalam program IBR di Bilik Seminar Sakinah, Jabatan Agama Islam (JAIS), di sini, pagi tadi.

Dalam majlis itu, seramai 53 warga JMNS hadir berikrar akan menyediakan perkhidmatan yang telus serta bebas rasuah.

Ramli juga menyatakan sifat keterbukaan dan kebertanggungjawaban dipamerkan JMNS membuktikan bahawa usaha membanteras rasuah bukanlah tanggungjawab eksludif SPRM semata-mata.

“Inisiatif JMNS ini membuktikan tanggungjawab itu perlu dikongsi bersama oleh seluruh masyarakat khususnya kalangan agensi kerajaan,” katanya.