Categories
SELANGOR

JMNS mampu tanam sikap tolak rasuah pada rakyat

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 12 MEI: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menyeru pegawai Jabatan Mufti Negeri Selangor (JMNS) khususnya penceramah memulakan ceramah agama dengan menyentuh elemen integriti.

Pengarah SPRM Selangor, Dato’ Wan Ramli Wan Abdullah berkata, bersesuaian sebagai institusi agama Islam yang dipandang mulia dan dihormati, inisiatif yang bakal dimainkan JMNS itu diyakini mampu menyemai sikap membenci dalam kalangan rakyat terhadap budaya rasuah.

“JMNS perlu diperkasa dan diperkukuh agar menjadi sebuah institusi yang berintegiriti, teguh dan tegap dari sudut pentadiran serta penyampaiannya kepada rakyat.

MUFTI SPRM 1“Menjadi harapan dan aspirasi rakyat melihat JMNS menjadi sebuah institusi agama yang adil, agung dan unggul di dalam negara ini,” katanya dalam program IBR di Bilik Seminar Sakinah, Jabatan Agama Islam (JAIS), di sini, pagi tadi.

Tambahnya lagi, dalam konteks menghadapi cabaran isu semasa yang semakin kompleks dan mencabar, adalah penting menampilkan imej JMNS yang sentiasa berpaksi dan berteraskan kepada prinsip keadilan Islam,cekap, telus dan bersih dalam melaksanakan pentadbirannya.

“Pendekatan ini amat penting dan relevan kerana rakyat sering memerhati, menguji dan menilai perjalanan pentadbirannya mendepani isu-isu kontoversi.

“Justeru persefahaman dibina ini merupakan langkah positif menjalinkan rangkaian kerjasama strategik lebih erat bagi menjadikan JMNS teladan kepada agensi lain khusunya keagamaan dalam memerangi rasuah,” katanya.