Categories
GLOBAL

Perkampungan baru tempat 1,000 anak yatim Syria

ISTANBUL , 12 MEI: Sekurang-kurangnya 1,000 anak yatim Syria bakal ditempatkan di sebuah perkampungan baharu yang dibuka pasukan bantuan kemanusiaan Turki di selatan negara itu pada 19 Mei ini, lapor agensi berita Turki Anadolu (AA).

Hasil kerjasama Yayasan Bantuan Kemanusiaan Turki (IHH), Yayasan Sheikh Thani Ibn Abdullah, Perkhidmatan Kemanusiaan Qatar (RAF) dan Kementerian Dasar Keluarga dan Masyarakat Turki, perkampungan itu mampu menampung 990 kanak-kanak dibina di kawasan seluas 100 ekar di daerah Reyhanli wilayah Hatay bersempadan Syria.

Inisatif itu bertujuan mendokong semua keperluan kesihatan, pemulihan, makanan, pakaian dan sokongan psikologi dengan suasana persekitaran seperti dalam sebuah rumah.

Ketua Jabatan Anak Yatim IHH, Murat Yilmaz berkata, untuk permulaan 250 kanak-kanak akan tinggal di pusat itu dan dijangka mencapai sasaran ditetapkan dalam tempoh setahun.

Anak SyriaSelain bekerjasama dengan Qatar, beliau berkata Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dari Malaysia, Indonesia, Afrika Selatan, Poland dan Britain turut menyumbang kepada projek yang menelan kos 80 juta lira (US$ 22.2 juta).

Katanya, kos operasi bulanan pusat itu pula membabitkan kira-kira 1.5 juta lira US$416,838) yang akan dibiayai menerusi sumbangan para dermawan, NGO dan kerajaan Turki.

Tambahnya, Kementerian Pelajaran akan bertanggungjawab mengupah tenaga pengajar dan menampung perbelanjaan pendidikan.

Setiap villa di pusat itu menampung 18 kanak-kanak mengikut kumpulan umur dan jantina, setiap perumahan dilengkapi bilik tidur, bilik mandi, dapur, ruang makan, bilik belajar, bilik bacaan dan bilik permainan.

Enam pegawai yang diiktiraf akan ditugaskan untuk menjaga setiap vila dan jumlah keseluruhan petugas ialah seramai 330 kakitangan untuk 55 buah rumah.

Perkampungan itu juga mempunyai kemudahan masjid, tiga buah sekolah rendah dan menengah, pusat pemulihan, klinik perubatan, pusat mesyuarat, dewan sukan dalaman dan luaran, pusat kemudahan sosial dan rumah kediaman kakitangan serta tetamu.

Menyentuh soal keselamatan Yilmaz berkata, pengawal keselamatan ditugaskan 24 jam dan kawasan sekitar turut dipasang kamera bagi membolehkan kanak-kanak bermain di taman terbuka.

Setakat kini, Turki membelanjakan kira-kira AS$25 bilion bagi tujuan membantu dan menyediakan perlidungan pelarian sejak perang saudara meletus di Syria. – Bernama