Categories
SELANGOR WANITA & KEBAJIKAN

Lebih 1,000 wanita dirai PEKAWANIS sempena Hari Ibu

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 13 MEI: Seramai 1,000 wanita Selangor hari ini dirai Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS) sempena sambutan Hari Ibu.

Pengerusinya, Datin Seri Shamshida Taharin berkata, majlis itu bagi menghargai kaum ibu yang banyak berjasa dalam memainkan peranan membina keluarga sejahtera.

Katanya, ia seharusnya disambut setiap masa dan setiap hari dan bukan sekadar pada hari tertentu sahaja.

“Nikmat tertinggi sebagai wanita adalah apabila kita diberikan amanah bergelar ibu.

“Allah mengangkat tinggi kaum ibu, begitu juga agama lain yang sentiasa mementingkan nilai hormat kepada ibu.

“Namun, ibu perlu ingat bahawa tanggungjawab ini besar, maka galaslah dengan sebaik-baiknya untuk anak-anak dan keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Sambutan Hari Ibu 2017, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Kebajikan, Kesihatan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi dan Pengerusi Persatuan Taska Negeri Selangor (PTNS), Mahanom Basri.

Terdahulu, tirai majlis sambutan dibuka dengan Slot Motivasi oleh pakar motivasi tersohor, Prof Dr Muhaya Mohamad selama satu jam.

Majlis turut menyaksikan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menerima Anugerah Khas PEKAWANIS 2017.

Anugerah berkenaan diterima anaknya, Nurul Ilham Anwar Ibrahim bagi mewakili Wan Azizah yang kini berada di Amerika Syarikat bagi menghadiri majlis graduasi seorang lagi anaknya di sana.

=EZY=