Categories
SELANGOR

Mahkamah batal semakan kehakiman Hizbut Tahrir

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 5 MEI: Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam membatalkan permohonan Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) untuk menyemak kembali fatwa yang mengisytiharkan kumpulan itu haram dan menyeleweng daripada Islam.

Fatwa bertajuk ‘Fatwa Kedudukan Hizbut Tahrir’ itu menyebut kumpulan agama itu menyeleweng menurut pandangan pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah.

Keputusan itu diumumkan peguam yang mewakili Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Zainul Rijal Abu Bakar,

Zainul berkata, HTM yang pertama memfailkan permohonan semakan kehakiman dan menamakan Mufti Selangor, Dato’ Seri Tamyes Abd Wahid, jawatankuasa fatwa negeri, MAIS dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sebagai responden.

zainulrijal_1“HTM menyifatkan fatwa bersifat politik dan menafikan ahli mereka sesat. Dalam permohonan semakan kehakiman, mereka mahu mufti dan jawatankuasa fatwa mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka.

“Bagaimanapun, jurucakap HTM, Abdul Hakim diperintahkan membayar kos RM2,000 kepada setiap responden serta memerintahkannya mendapatkan kebenaran mahkamah terlebih dahulu jika mahu memfailkan semula tindakan sama,” katanya.

Katanya, setakat ini hanya Mahkamah Syariah Selangor sahaja yang mempunyai peruntukan bidang kuasa berkaitan semakan kehakiman bagi menyemak keputusan pihak berkuasa agama melalui pindaan seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2003.

Terdahulu, pada Disember 2015, MAIS mengisytiharkan ajaran HTM menyeleweng daripada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah dan melarang umat Islam mengikutinya.

Difahamkan, HTM gerakan politik dengan jaringan antarabangsa yang diasaskan pada 1953 di Palestin bertujuan menubuhkan ‘kerajaan Islam’ yang menggabungkan negara orang Islam dan mula berkembang ke Malaysia, pada era 1990-an.