Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Cubaan ‘gegar’ Selangor petanda PRU-14 makin dekat – MB

OLEH AFIX REDZUAN

SEPANG, 5 MEI: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menyifatkan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa pentadbiran Kerajaan Selangor tidak stabil menggambarkan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kian hampir.

Katanya, Umno sentiasa bercakap tanpa melihat kepada realiti walhal pentadbiran Kerajaan Negeri berjalan lancar seperti biasa.

Katanya, keadaan ini diperkukuhkan dengan laporan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) yang menyatakan faktor kesatuan menjadi penyumbang kepada kekuatan pentadbiran Kerajaan Negeri.

“Umno merasakan dengan membuli dan mengasak Kerajaan Negeri kita akan menghadapi masalah tetapi terbukti pada hari ini Kerajaan Negeri Selangor cukup stabil.

IMG_7780“Laporan terbaru MIER mengatakan faktor kekuatan Kerajaan Negeri adalah kesatuan di dalam pentadbiran.

“Saya rasa ada pihak cemburu kejayaan Negeri Selangor bukan sahaja kedudukan ekonomi tetapi perpaduan yang cukup utuh dalam pentadbiran Kerajaan Negeri,” katanya.

Ketika ditemui sejurus tiba dari lawatan kerja lima hari ke Timur Tengah, Mohamed Azmin menegaskan, Ahli Dewan Negeri (ADN) Selangor tidak berminat melayan provokasi musuh politik sebaliknya mahu terus melaksanakan tanggungjawab dari mandat rakyat.

“Kita merasakan mandat rakyat itu satu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dan ia (mandat) sudah diberikan dalam pilihan raya yang lepas dan kita akan pastikan ia diterjemahkan dalam bentuk program yang memberikan manfaat kepada rakyat keseluruhannya,” katanya.