Categories
SELANGOR

1,000 kakitangan MBSA ikuti pemeriksaan kesihatan percuma

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 5 MEI: Kira-kira 1,000 kakitangan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) hari ini berpeluang melakukan pemeriksaan dan khidmat nasihat pakar kesihatan secara percuma sempena Program Minggu Kesihatan.

Ketua Bahagian Komunikasi Korporat dan Perhubungan Awam, Shahrin Ahmad berkata, program tahunan itu bertujuan memberi pendedahan terhadap kepentingan penjagaan kesihatan kepada warga kerja MBSA.

Katanya, mereka berpeluang melakukan pemeriksaan tekanan darah, berat badan seimbang (BMI), kadar gula dalam darah dan tahap kolestrol dalam darah.

“Program ini merupakan inisiatif MBSA memastikan warga kerja mempunyai kesihatan baik dan cergas.

IMG_9924“Ia ternyata memberi manfaat bagi kepentingan mereka, seterusnya membantu MBSA meningkatkan kualiti kerja dan memberi perkhidmatan terbaik kepada penduduk Shah Alam,” katanya.

Bertempat di Dewan Auditorium MBSA, turut disediakan kaunter derma darah oleh Pusat Darah Negara, Koperasi Muslim, kaunter promosi bagi kesedaran kanser payudara dan kaunter makanan kesihatan.

Kakitangan MBSA juga disajikan ceramah daripada Pensyarah Sains Sukan Shah Alam, Dr Azzura dengan topik ‘How Sleep Patterns Impact Your Productivity At Work and The Danger Of Not Caring Your Body Posture’ dan ceramah daripada Dato’ Jalaluddin Hassan (‘Joint Pain Cause and Symptoms’).

Program turut menyaksikan Datuk Bandar, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad menyempurnakan Majlis Perasmian Gimnasium MBSA.

Shahrin berkata, gimnasium berkenaan disediakan untuk kemudahan sukan dan riadah kepada warga kerja MBSA.

“Kami melihat kakitangan MBSA sebagai aset berharga dalam memacu organisasi dan memberikan prrkhidmatan cemerlang kepada masyarakat.

IMG_9497“Dalam hal ini penjagaan kesihatan dan kecergasan mereka perlu dititikberatkan dan penyediaan gimnasium sebagai salah satu platform untuk melahirkan warga MBSA yang sihat, cergas dan komited,” katanya.

Turut diadakan acara penyampaian Sijil Sifar Lewat dan Sifar Cuti Sakit kepada kakitangan mempunyai kehadiran baik dan tidak pernah mengambil cuti sakit sepanjang 2016 serta penyampaian hadiah bagi Pertandingan Tandas Terbersih.