Categories
KENYATAAN MEDIA

MAS perlu ikut SOP, utama keselamatan

OLEH TAN KAR HING

Saya mengambil maklum berhubung insiden Pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) dari Jakarta, Indonesia ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang mendarat dengan dua tayar kempis.

Ini bukanlah pertama kali insiden kerosakan pesawat dan kemalangan yang melibatkan penerbangan MAS, awal bulan lalu juga dilaporkan sebuah pesawat penerbangan tersebut terbabas dari landasan ketika mendarat di Lapangan Terbang Sibu.

1. Setahu saya, pesawat milik mana-mana syarikat penerbangan yang didapati mempunyai sebarang ‘kecacatan’ pada mana-mana strukturnya tidak sekali-kali dibenarkan berlepas sepertimana Prosedur Operasi Standard (SOP) yang pertama perlu dipatuhi bagi mana-mana syarikat penerbangan.

Adakah MAS mengikut SOP yang ditetapkan ini?

2. Perkara seumpama ini perlu diberi perhatian sepenuhnya oleh syarikat penerbangan tersebut kerana ia melibatkan soal keselamatan penumpang yang sepatutnya perlu sentiasa diberi keutamaan MAS pada setiap masa. Apabila perkara ini berlaku, ia turut akan menjejaskan keyakinan penumpang tempatan dan antarabangsa untuk menggunakan perkhidmatan MAS.

3. Lebih buruk lagi, selain menjejaskan imej penerbangan itu sendiri, ia turut menjejaskan imej negara juga kerana MAS adalah syarikat penerbangan utama di Malaysia dan sebelum ini juga telah terpalit dengan insiden pesawat MH370 yang hilang sehingga mendapat tumpuan satu dunia.

4. Bagi saya, dalam usaha untuk menarik lebih banyak Pelaburan Langsung Asing (FDI) ke negara ini, infrastruktur asas perlu efisien termasuk sektor pengangkutan. Penyediaan infrastruktur pengangkutan dan perhubungan yang moden, cekap dan bertaraf antarabangsa perlu disediakan kerana ia akan memudahkan perhubungan serta mobiliti dalam dan luar negara.

5. Justeru, saya menggesa MAS dan pihak bertanggungjawab menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian supaya tidak berulang. MAS juga perlu mengemukakan hasil siasatannya kepada umum agar rakyat tahu dan imej MAS dapat dipulihkan.

*Tan Kar Hing adalah ADUN Simpang Pulai dan Naib Ketua AMK