Categories
NASIONAL

Jangan pilih bulu, SPR patut urus pilihanraya adil

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 5 MEI : Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) perlu bertindak sebagai sebuah suruhanjaya bebas, profesional dan adil tanpa melindungi kepentingan mana-mana parti politik.

Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Tan Kar Hing, berkata, tanggungjawab itu sebagai sebahagian daripada usaha mengekalkan prinsip demokrasi negara melalui sistem pilihanraya adil.

“SPR sepatutnya bertindak sebagai institusi kerajaan yang dipertanggungjawabkan memelihara, menyelia dan mengekalkan proses demokrasi di negara ini melalui pilihanraya bebas dan adil.

Tan Kar Hing“Untuk itulah memerlukan SPR menjalankan tanggungjawab secara telus dengan menguruskan pendaftaran pemilih dan perjalanan pilihanraya secara profesional,” katanya dalam kenyataan.

Beliau dalam kenyataannya mengulas tindakan pemberhentian edaran Rang Daftar Pemilih (RDPT) baru-baru ini yang menyukarkan parti politik mengesan penipuan dalam sistem undi pada pilihanraya depan.

Ahli Dewan Negeri Simpang Pulai itu berkata, SPR kini lebih mengamalkan sikap pilih bulu berpandukan kepada dasar sedia yang kini didakwa berpihak kepada parti politik tertentu.

Katanya, ia dibuktikan menerusi tindakan sabotaj dilakukan suruhanjaya itu sejak 2013 yang menyebabkan fungsi sebenar agensi itu semakin diragui umum.

“Antara yang paling jelas termasuklah pembatalan perlantikan penolong pendaftar pemilih ARO parti politik, proses persempadan semula, pembatalan program pendaftaran pengundi dan pemberhentian edaran RDPT baru-baru ini,” katanya.

 

Categories
KENYATAAN MEDIA

MAS perlu ikut SOP, utama keselamatan

OLEH TAN KAR HING

Saya mengambil maklum berhubung insiden Pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) dari Jakarta, Indonesia ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang mendarat dengan dua tayar kempis.

Ini bukanlah pertama kali insiden kerosakan pesawat dan kemalangan yang melibatkan penerbangan MAS, awal bulan lalu juga dilaporkan sebuah pesawat penerbangan tersebut terbabas dari landasan ketika mendarat di Lapangan Terbang Sibu.

1. Setahu saya, pesawat milik mana-mana syarikat penerbangan yang didapati mempunyai sebarang ‘kecacatan’ pada mana-mana strukturnya tidak sekali-kali dibenarkan berlepas sepertimana Prosedur Operasi Standard (SOP) yang pertama perlu dipatuhi bagi mana-mana syarikat penerbangan.

Adakah MAS mengikut SOP yang ditetapkan ini?

2. Perkara seumpama ini perlu diberi perhatian sepenuhnya oleh syarikat penerbangan tersebut kerana ia melibatkan soal keselamatan penumpang yang sepatutnya perlu sentiasa diberi keutamaan MAS pada setiap masa. Apabila perkara ini berlaku, ia turut akan menjejaskan keyakinan penumpang tempatan dan antarabangsa untuk menggunakan perkhidmatan MAS.

3. Lebih buruk lagi, selain menjejaskan imej penerbangan itu sendiri, ia turut menjejaskan imej negara juga kerana MAS adalah syarikat penerbangan utama di Malaysia dan sebelum ini juga telah terpalit dengan insiden pesawat MH370 yang hilang sehingga mendapat tumpuan satu dunia.

4. Bagi saya, dalam usaha untuk menarik lebih banyak Pelaburan Langsung Asing (FDI) ke negara ini, infrastruktur asas perlu efisien termasuk sektor pengangkutan. Penyediaan infrastruktur pengangkutan dan perhubungan yang moden, cekap dan bertaraf antarabangsa perlu disediakan kerana ia akan memudahkan perhubungan serta mobiliti dalam dan luar negara.

5. Justeru, saya menggesa MAS dan pihak bertanggungjawab menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian supaya tidak berulang. MAS juga perlu mengemukakan hasil siasatannya kepada umum agar rakyat tahu dan imej MAS dapat dipulihkan.

*Tan Kar Hing adalah ADUN Simpang Pulai dan Naib Ketua AMK

Categories
NASIONAL

Pertingkat mutu internet, bukan ulang janji lama

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 17 MAC: Kementerian Komunikasi dan Multimedia diingatkan supaya bersikap serius jika mahu menggandakan kelajuan internet yang akan dilaksanakan dalam tempoh dua tahun seperti dinyatakan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

ADUN Simpang Pulai, Tan Kar Hing berkata, hal ini perlu bagi memastikan Malaysia tidak ketinggalan dalam merebut peluang besar daripada perkembangan ekonomi berasaskan internet yang semakin rancak.

“Ingin saya ingatkan, dalam menghadapi persaingan global yang semakin mencabar, Malaysia sebagai sebuah negara yang sedang berkembang wajar memiliki capaian internet berkelajuan tinggi dan meluas.

“Memetik laporan kaji selidik mutu perkhidmatan internet oleh Akamai Technologies Inc pada suku pertama tahun lalu, saya berpendapat beberapa perkara wajar diberi perhatian

“Malaysia dilihat semakin gagal menyerlah sedangkan kita adalah antara negara paling awal menceburi dunia siber dengan memperkenalkan Koridor Raya Multimedia di Cyberjaya pada lewat 1990-an,” katanya.

Komputer (1)Bagi membuktikan kesungguhan tersebut, Kar Hing mencabar kerajaan memberi penjelasan berhubung status Projek High Speed Broad Band (HSBB) fasa ke-2 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semasa Pembentangan Bajet 2014.

“Sepanjang tempoh kira-kira tiga tahun yang dinyatakan itu, apakah projek dengan pelaburan kira-kira RM 4.9 bilion itu telah mencapai sasarannya untuk mempertingkat kelajuan internet sehingga 10Mbs dan berjaya memperluas liputan internet di luar bandar seperti yang dirancangkan?

“Kita bimbang kenyataan Salleh baru-baru ini hanyalah bertujuan menutup kegagalan kerajaan dalam usaha meningkatkan perkhidmatan internet di negara ini. Rakyat sudah muak dengan janji serupa yang sering diulang-ulang oleh pemimpin kerajaan,” katanya.

Laporan Akamai Technologies Inc menyatakan Malaysia di kedudukan ke-74 dunia daripada segi purata kelajuan Internet pada 2016 dengan kelajuan sekitar 6.4 megabait sesaat (Mbps), merosot satu tangga berbanding 2015 selain berada di tangga ke-9 dalam kalangan 15 negara rantau Asia Pasifik.

Smart Phone“Berkedudukan di belakang Korea Selatan yang berada di tangga teratas dengan purata kelajuan 29Mbps, Hong Kong (19.9Mbps), Jepun (18.2Mbps), Singapura (16.5Mbps), Taiwan (14.8Mbps), New Zealand (10.5Mbps) dan Thailand (10Mbps) apakah Malaysia akan mampu bersaing menghadapi negara-negara serantau?

“Suka saya mengingatkan Dr Salleh agar bersungguh-sungguh dalam usaha meningkatkan mutu perkhidmatan internet di negara ini dan bukannya mengulangi janji-janji yang ditabur oleh para menteri sebelum beliau,” katanya.

-nR-