Categories
NASIONAL

T-IM: PRU14 mesti bersih

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 4 MEI: Transparency International Malaysia (TI-M) menuntut kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dijalankan secara bersih dan adil, menjelang Jun 2018.

Presidennya, Datuk Akhbar Satar berkata, ia perlu dilaksanakan secara ‘toleransi sifar’ untuk politik wang, naungan politik, pilih kasih, nepotisme dan konflik kepentingan dalam pemberian konsesi, kontrak atau projek kerajaan.

Katanya, isu pembiayaan parti politik juga perlu diberikan perhatian sepertimana dikemukakan Jawatankuasa Perundingan Kebangsaan mengenai Pembiayaan Politik pada September lalu.

DATUK AKHBAR SATAR“Timbul kebimbangan integriti serius berhubung kempen penguatkuasaan pembiayaan kerana ahli politik memerlukan sejumlah besar wang untuk menggerakkan kempen mereka.

“Persoalan kami ialah dana kempen ini datang dari mana dan berapa banyak sebenarnya wang dibelanjakan setiap calon.

“Satu set undang-undang untuk mengawal selia pembiayaan politik akan memberi kesan positif kepada Malaysia seterusnya meningkatkan imej negara dari segi ketelusan, integriti dan akauntabiliti,” katanya dalam kenyataan.

Berdasarkan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, had perbelanjaan kempen untuk setiap calon ialah RM200,000 bagi kerusi Parlimen dan RM100,000 bagi kerusi Dewan Undangan Negeri.

Akhbar berkata, pihaknya turut menggesa akses media adil kepada calon daripada parti politik bertanding dan perdebatan secara profesional mengenai manifesto politik.

“Kita juga mahu perhatian diberikan terhadap Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia yang jatuh daripada kedudukan ke-54 pada 2015 kepada tempat ke-55 pada 2016.

“Ahli politik perlu menunjukkan komitmen ke arah ‘pemerhatian prinsip kebenaran, integriti, akauntabiliti dan tingkah laku beretika’ sepanjang tempoh pilihan raya dan selepas diberikan mandat.

“PRU14 bukan sahaja perlu adil dan bersih, tetapi perlu dilihat sebagai adil dan bersih,” katanya.