Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Sembuh luka sengketa, raikan keberkatan Ramadan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 26 MEI : Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menyeru kepada seluruh masyarakat Islam negara ini agar mengambil keberkatan Ramadan untuk terus bersatu dengan mengenepikan sebarang persengketaan.

Beliau berkata, keberkatan Ramadan mampu memperkukuhkan penyatuan intitusi ummah melalui ikatan ukhwah yang dilaksanakan menerusi pembangunan institusi rumah Ibadat Islam seluruh negara.

“Tatkala umat Islam berdepan pelbagai cabaran menggeser perpaduan, pelbagai program dan kegiatan yang dilaksanakan secara berjemaah amat penting untuk memperkukuh ukhwah dan kesatuan ummah.

“Justeru itu, Institusi masjid dan surau memainkan peranan penting untuk menggembeleng perpaduan umat serta menampilkan imej Islam sebagai Rahmatan Lil Alamin.

“Menjadi harapan kita agar ibadah kita di bulan yang mulia ini dapat menyembuhkan luka-luka perpecahan dan persengketaan di kalangan umat Islam dan manusia keseluruhannya,” katanya dalam kenyataan.

MB RAMADANPada masa sama, beliau yakin Umat Islam khususnya masyarakat Selangor akan terus berlumba-lumba mengimarahkan rumah Ibadat selaras tuntutan Al-Quran dan Sunnah.

“Alhamdulillah, kita sekali lagi dipertemukan dengan bulan Ramadhan, madrasah ruhiyyah buat umat Islam menyuntik kekuatan kerohanian, mentarbiyyah akhlak dan menyucikan diri bagi mencapai sifat mahmudah.

“Saya yakin, masjid dan surau di seluruh Negeri Selangor, bahkan di seluruh Malaysia, telah membuat pelbagai persiapan untuk mengimarahkan masjid dan surau dengan kegiatan Ihya’ Ramadhan,” katanya.

Sementara itu, masyarakat Islam Malaysia dijangka akan mula menyambut Ramadan dan berpuasa sebulan bermula esok selepas mendapat Perkenan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.