Categories
SELANGOR

MPSJ: Kes denggi turun 46 peratus

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SUBANG JAYA, 26 MEI : Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) mencatatkan penurunan kes denggi 46 peratus bagi tempoh Januari sehingga awal bulan ini.

Pemangku Yang Dipertua MPSJ, Mohd Zulkurnain Che Ali berkata, 2,490 kes dilaporkan berbanding tempoh sama tahun lalu 4,669 kes.

“Berdasarkan kajian taburan kes, jangkitan kes demam denggi di kawasan MPSJ tertumpu di kawasan pangsapuri.

“Sikap penduduk dan masalah ketiadaan badan pengurusan JMB menjadi punca utama menghalang kepada kaedah kawalan demam denggi dapat dilaksanakan sempurna,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat MPSJ Bilangan 5/2017 di Bilik Mesyuarat Kenanga di sini, pagi ini.

Dalam pada itu, Mohd Zulkurnain berkata, MPSJ telah mengenalpasti lokaliti demam denggi bagi tempoh sama sebanyak 17 mengikut pecahan zon, Subang Jaya, Seri Serdang, Seri Kembangan dan Kinrara.

Sehubungan itu katanya, MPSJ bersama Pejabat Kesihatan Daerah Petaling dan pihak berwajib menyelesaikan masalah berkaitan dan mengenalpasti punca habitat aedes.