Categories
NASIONAL

“Nak buat macam mana, Noh hidup di alam lain”

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 22 MEI: Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dibidas ekoran kenyataannya menggesa rakyat Selangor memilih Umno-Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14, baru-baru ini.

Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Fahmi Fadzil, berkata kenyataan Noh itu seolah-olah menggambarkan beliau hidup di alam lain sehingga gagal melihat perbezaan ketara antara Kerajaan Negeri di era Umno-BN sebelum 2008 dengan Kerajaan Negeri di bawah PAKATAN, hari ini.

“Nak buat macam mana, dia tak hidup di alam yang sama dengan kita. Mungkin apa yang beliau lihat berbeza daripada apa yang kita saksikan secara realitinya berlaku sebelum dan selepas PAKATAN menerajui Selangor.

FAHMI“Bagi saya, wujudnya Noh di Selangor membuktikan krisis kepimpinan yang ada dan muflisnya Umno yang tidak mempunyai seorang pemimpin berkaliber di negeri itu untuk dijadikan Ketua Pembangkang. Itu isu pokok berkait dengan,” katanya ketika dihubungi SelangorKini, di sini, hari ini.

Katanya, salah guna kuasa di bawah Kerajaan Negeri era Umno-BN sebelum ini terlalu berleluasa demi meraih keuntungan peribadi pemimpin atasan tanpa memikirkan masalah dihadapi rakyat.

Katanya, Kerajaan PAKATAN di Selangor hari ini berusaha gigih meningkatkan taraf hidup rakyat dengan berkongsi kekayaan hasil negeri.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri turut berusaha memakmurkan lagi negeri itu dengan memastikan ekonomi berada di landasan kukuh walaupun di peringkat Kerajaan Persekutuan berada di tahap yang lemah selain berkongsi kekayaan negeri melalui 17 Skim Inisiatif Peduli Rakyat.