Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Peluang kerja di Selangor meningkat kepada 3,217,600 pekerjaan

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 23 MEI: Peluang kerja di Selangor meningkat sebanyak 305,300 pekerjaan, iaitu daripada 2,912,300 pekerjaan dalam 2014 kepada 3,217,600 pekerjaan pada 2016.

Pengarah Komunikasi Strategik, Pejabat Menteri Besar Selangor, Yin Shao Loong berkata, peningkatan sejak Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali bergelar Dato’ Menteri Besar itu juga menyaksikan ia mewakili hampir separuh atau 48.3 peratus daripada keseluruhan peningkatan peluang kerja di negara ini.

Katanya, peluang kerja di Malaysia secara keseluruhannya meningkat sebanyak 631,600 pekerjaan dalam tempoh berkenaan.

“Wanita Selangor turut mengisi lebih separuh atau 55 peratus pekerjaan baru di negeri ini berbanding hanya 40 peratus pekerjaan baru di seluruh negara.

“Pembabitan wanita dalam tenaga kerja di Selangor meningkat daripada 40.3 peratus pada 2014 kepada 41.7 peratus pada 2016.

“Ini bermakna, apabila peluang kerja di Selangor berkembang, pembabitan wanita dalam pasaran kerja semakin meluas,” katanya dalam kenyataan.

Shao Loong berkata, Selangor di bawah kepemimpinan Mohamed Azmin juga membuka peluang kepada lebih ramai pekerja berkemahiran tinggi seperti pengurus, profesional dan juruteknik memasuki pasaran pekerjaan.

Katanya, peluang kerja berkemahiran tinggi di Selangor meningkat melebihi 16 peratus dari 2014 hingga 2016, berbanding peningkatan nasional sebanyak 13.5 peratus dalam tempoh sama.

“Menjelang 2016, hampir 40 peratus daripada 3.2 juta tenaga kerja di Selangor disifatkan sebagai berkemahiran tinggi dan ia bersamaan satu pertiga daripada jumlah pekerja berkemahiran tinggi Malaysia bekerja di Selangor.

“Ia menjadikan Selangor sebagai negeri pintar menerusi inovasi ekonomi digital dalam inisiatif Smart Selangor, sepertimana diumumkan pada Belanjawan Negeri Selangor 2016.

“Selangor terus menyediakan peluang memberdaya wanita untuk terlibat dalam peningkatan tenaga kerja berkemahiran dan dinamik, seterusnya membantu Selangor selaku pemain utama dalam rangkaian perdagangan ASEAN,” katanya.

=EZY=