Categories
NASIONAL

Polis Melaka terus pantau unsur berkait Muhammad Wanndy

MELAKA, 11 MEI: Polis kontinjen Melaka akan terus memantau aktiviti dan perkara disyaki mempunyai kaitan dengan Ketua Militan Daesh Asia Tenggara, Muhammad Wanndy Mohamed Jedi atau kumpulan lain.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Jalil Hassan berkata, sehingga kini, polis mendapati tiada lagi unsur berkaitan Muhammad Wanndy mahupun militan Daesh di negeri ini.

“Kita juga melakukan pemantauan secara berterusan di kampung kelahiran Ketua Militan Daesh Asia Tenggara itu di Masjid Tanah dan mendapati tiada aktiviti mencurigakan,” katanya lapor BERNAMA.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan Muhammad Wanndy terbunuh dalam satu serangan di Raqqa, Syria pada 29 April lalu.

Pada masa sama, Abdul Jalil berkata, Polis Kontinjen Melaka yakin Melaka bebas daripada kegiatan militan Daesh, sehingga kini.

“Di Melaka, kegiatan berkaitan militan Daesh adalah kurang dan boleh dikatakan tiada, baik di Masjid Tanah mahupun di daerah lain kerana polis sentiasa membuat pemantauan ketat.

“Polis juga mendapat kerjasama erat daripada masyarakat yang sentiasa menyalurkan maklumat bagi membolehkan polis menyelesaikan perkara itu dari peringkat awal,” katanya.