Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Putus tahaluf siyasi tak jejas Kerajaan Selangor – Wan Azizah

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 12 MEI: Keputusan Majlis Syura Ulama PAS membatalkan hubungan politik tahaluf siyasi dengan KEADILAN tidak akan menjejaskan Kerajaan Selangor.

Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, Kerajaan Selangor di bawah kepimpinan Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali akan terus berfungsi seperti biasa untuk membangun negeri dan memakmur rakyat.

Katanya, perkembangan terbaru itu tidak terjejas kerana Kerajaan Selangor mendapat mandat penuh dari rakyat negeri itu.

Beliau berkata KEADILAN mengambil maklum keputusan majlis syura itu walaupun pelbagai usaha dilakukan untuk mengekalkan muafakat politik demi memenuhi aspirasi rakyat.

wan-azizah“KEADILAN tidak pernah mengkhianati prinsip tahaluf siyasi semenjak terbentuknya muafakat politik.

“Kami mendukung secara prinsip usaha pemerkasaan mahkamah syariah seperti yang ditegaskan oleh kenyataan media Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 8 April 2017 yang juga merupakan pendirian rasmi KEADILAN,” katanya dalam kenyataan.

Azizah berkata, KEADILAN kini berusaha secara muafakat dengan parti-parti politik untuk menawan Putrajaya.

Malah, katanya, KEADILAN komited mempertahankan kerajaan-kerajaan negeri iaitu Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor.

“Matlamat dan tindakan KEADILAN dalam semua pilihanraya termasuk pilihanrya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar adalah untuk menentang Umno dan BN,” katanya.