Categories
AGENDA NASIONAL

Bubur lambuk Kampung Baru kembali meriahkan Ramadan

KUALA LUMPUR, 10 APRIL: Peminat bubur lambuk Kampung Baru akan dapat menikmati keenakan juadah tradisi berusia lebih 100 tahun itu apabila program edaran makanan tersebut yang menjadi program tahunan akan diteruskan sempena Ramadan tahun ini.

Tahun lepas program edaran bubur lambuk oleh Masjid Jamek Kampung Baru, tidak dapat dilaksanakan berikutan pandemik Covid-19.

Pengerusi masjid itu Datuk Mohd Khay Ibrahim berkata Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah memberi kelulusan untuk menyediakan, memasak dan mengedarkan bubur lambuk kepada orang ramai.

“Buat masa ini, kami hanya akan buat untuk pengagihan kerana berdasarkan maklumat daripada surat pekeliling Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) masih tidak membenarkan majlis berbuka puasa dilakukan di masjid,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata tahun ini, pihak masjid membelanjakan lebih RM200,000 yang diterima daripada sumbangan orang ramai bagi penyediaan hidangan tersebut.

“Kami akan memasak minimum 15 periuk setiap hari sepanjang Ramadan ini, yang akan dlaksanakan secara gotong-royong membabitkan hampir 30 kariah masjid.

“Biasanya, untuk satu periuk kami akan peroleh hingga 190 bungkus bubur lambuk dan kami akan menggunakan 15 kilogram beras (kg), enam kg daging, enam kg santan, satu kg udang kering serta campuran rempah ratus,” katanya.

Menceritakan keenakan bubur lambuk Kampung Baru, Mohd Khay berkata tiada rahsia tertentu di dalam penyediaannya.

“Kami menggunakan resipi turun-temurun dan tidak pernah merahsiakan bahan yang digunakan atau mengurangkan serta menambah ramuan. Mungkin juga keberkatan bersedekah kepada orang ramai membuatkan ia rasa sedap,” katanya.

Pada masa sama, Mohd Khay juga yakin masyarakat boleh mematuhi tatacara operasi piawai SOP) sepanjang proses pengagihan dilaksanakan nanti.

“Kami tidak lihat penetapan SOP ini sebagai satu kesusahan kerana ia sudah menjadi amalan semua masyarakat sejak setahun lepas.

“Selain beratur di perkarangan masjid, mungkin kami juga akan mengaplikasikan kaedah secara pandu lalu namun itu juga mengikut kepada kesesuaian,” katanya.

– BERNAMA

 

Categories
SELANGOR

LZS agih 1,500 bubur lambuk, erat silaturahim

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 31 MEI: Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengagihkan 1,500 bungkus bubur lambuk di beberapa kawasan sekitar Ampang, semalam.

Berdasarkan maklumat di Facebook, sumbangan itu bersempena Program Agihan Bubur Lambuk, Jom #KongsiRezeki Dengan Berzakat.

“Objektif utama program untuk memupuk semangat silaturahim dan kerjasama LZS serta pihak masjid, selain menggalakkan dan mengingatkan orang ramai menunaikan tanggungjawab berzakat.

“Malah, ia turut mendapat kerjasama Zakat Selangor Cawangan Hulu Langat yang turut disertai Ketua Penolong Amil Kariah dan Masjid Nurussaadah Kampung Cheras Baru,” katanya.

Bubur lambuk itu diagihkan di beberapa kawasan antaranya Hospital Ampang, bazar Ramadan, masjid dan surau berdekatan.

 

Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri edar 5,000 bubur lambuk esok

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 24 MEI: Kerajaan Negeri berkongsi kemanisan Ramadan yang mulia bersama dengan warga Shah Alam dan sekitar, melalui penganjuran Program Rasa Bubur Lambuk Mega Warisan Selangor, yang akan diadakan di Dataran Kemerdekaan Shah Alam di sini, esok.

Tourism Selangor dalam kenyataan memaklumkan, sejumlah 5,000 pek Bubur Lambuk akan diagihkan pada program itu.

“Juadah Bubur Lambuk, sememangnya begitu sinonim dengan kedatangan Ramadan, yang mana ianya amat digemari oleh segenap lapisan masyarakat.

“Program pada esok diadakan buat julung kalinya oleh penganjur, Nu Ideaktiv Sdn Bhd, dengan usahasama Tourism Selangor dan pelbagai agensi kerajaan serta swasta,” katanya.

Pada masa sama, katanya, bagi menghasilkan sejumlah besar pek Bubur Lambuk dalam masa ditetapkan, sukarelawan dari agensi itu akan mengadakan aktiviti memasak secara gotong-royong yang bermula seawal jam 10 pagi.

 

Katanya, mereka terdiri daripada sukarelawan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam dan Politeknik Sabak Bernam, selebriti tempatan, wakil chef dari pihak penaja serta Pihak Berkuasa Tempatan.

“Selain menjadi salah satu inisiatif Kerjaan Negeri untuk berkongsi rezeki pada Ramadan bersama dengan rakyat sekitar, program ini menjadi satu landasan yang baik untuk diperkenalkan kepada pelancong asing tentang budaya Malaysia yang sarat dengan nilai berkongsi rezeki dan menitipkan erti kesyukuran.

“Program ini juga membuka peluang kepada pelancong untuk mengenali nilai gastronomi Malaysia yang unik dan seterusnya merasai sendiri kelazatan juadah tempatan yang beraneka,” katanya.

Program itu dirasmikan EXCO Pelancongan dan Kebudayaan, Peradaban Melayu dan Warisan, Dato’ Abdul Rashid Asari.

Categories
SELANGOR

MPS edar 4,000 bubur lambuk

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 16 MEI: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) berjaya menghasilkan 4,000 bungkus bubur lambuk secara gotong royong, semalam.

Pengarah Jabatan Korporatnya, Mohamad Zin Masoad berkata, bubur lambuk yang disediakan oleh 210 warga MPS itu diedarkan kepada kakitangan MPS, agensi kerajaan dan pengunjung Bazar Ramadan.

“Program yang menjadi acara tahunan ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial warga MPS kepada masyarakat setempat sempena bulan yang mulia ini di samping dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim.

“Program yang bermula pada jam 9 pagi itu selesai pada jam 12.30 tengah hari dengan aktiviti pembungkusan secara gotong royong,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Program Memasak Bubur Lambuk anjuran kerjasama Kelab Sukan dan Rekreasi MPS yang berlangsung di Perkarangan Menara MPS itu dirasmikan oleh Pemangku Yang Dipertua MPS, Dato’ Dr Juhari Ahmad.

 

Categories
SELANGOR

PKNS edar 12,000 bubur lambuk ‘legend’

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SHAH ALAM, 10 MEI: Sebanyak 12,000 pek bubur lambuk diagihkan secara percuma kepada orang ramai sempena sambutan Ramadan, di Kompleks PKNS di sini, semalam.

Program Agihan Bubur Lambuk Kasih Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang dilaksanakan menerusi PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) itu adalah sebahagian tanggungjawab sosial korporat syarikat terbabit.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, sebanyak RM66,600 diperuntukkan PREC bagi menyediakan bubur lambuk yang didatangkan khas dari Kampung Baru, manakala Koperasi PKNS Berhad bertanggungjawab membungkus semula serta menyelaras agihan bubur.

“Pemberian bubur lambuk secara percuma ini dilakukan di Kompleks PKNS Shah Alam pada 9, 13, 27 dan 30 Mei, manakala 9, 16 dan 23 Mei pula di Kompleks PKNS Bangi serta SACC Mall.

“Sebanyak 2,000 pek diedarkan pada setiap agihan bermula 4.30 petang dan kebiasaannya habis dalam tempoh lebih kurang setengah jam.

“Orang ramai memang sangat menantikan bubur lambuk ini kerana ia seperti menjadi tradisi PKNS sejak hampir 20 tahun lalu,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Mohd Azizi berkata, penduduk di sekitar Shah Alam tidak perlu ke Kampung Baru untuk mendapatkan bubur lambuk ‘legend’ itu kerana ia boleh didapati di lokasi edaran yang ditetapkan PKNS sepanjang Ramadan.

“Edaran bubur lambuk ini juga sebagai tanda penghargaan PKNS kepada masyarakat awam, terutama pengujung Kompleks PKNS dan SACC Mall yang menjadikan pusat membeli-belah ini sebagai lokasi pilihan utama mendapatkan keperluan hari raya,” katanya.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif PREC, Fakru Radzi Ab Ghani, Ahli Pengurusan PKNS, Pengurusan PREC, wakil persatuan peniaga dan wakil Persatuan Teksi Shah Alam.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB santuni masyarakat, serah bubur lambuk di hari pertama Ramadan

SHAH ALAM, 6 MEI: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari tidak melepaskan peluang menyantuni orang ramai dengan menyerahkan sendiri bubur lambuk pada hari pertama Ramadan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (MSSAAS), di sini hari ini.

Ia sempena Majlis Perasmian Program Bubur Lambuk MSSAAS sejurus selepas Amirudin menunaikan solat Asar di masjid berkenaan.

Tentunya ia detik yang cukup bermakna buat Amirudin apabila melihat ratusan orang ramai berbaris seawal 4.30 petang tadi bagi mendapatkan bubur lambuk yang disediakan khas oleh MSSAAS.

“Sesiapa yang memberi makan orang yang berpuasa (iftar), maka baginya (pemberi) pahala seperti orang yang berpuasa itu tanpa dikurangkan sedikit pun pahala orang yang berpuasa tersebut” tulis Amirudin di laman Facebook memetik Riwayat at-Tirmizi.

Program tahunan anjuran MSSAAS itu dilaksana setiap kali Ramadan selain pelbagai aktiviti mengimarahkan masjid turut dianjurkan.

Categories
SELANGOR

Hujan lebat bukan halangan edar bubur lambuk

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 1 JUN: Hujan tidak menghalang Ahli Dewan Negeri Taman Medan, Haniza Talha meneruskan tradisi tahunan mengedarkan bubur lambuk kepada penduduk sekitar.

Baru-baru ini, sebanyak 350 bekas bubur lambuk diagihkan kepada pengunjung bazar Ramadan PJS 1.

Haniza berkata, aktiviti tahunan Pusat Khidmat Rakyat DUN Taman Medan itu bertujuan memupuk semangat bersedekah khususnya di bulan Ramadan.

“Alhamdulillah berpeluang mengedarkan sekitar 350 bekas bubur lambuk kepada pengunjung bazar Ramadan PJS 1 kerana menurut satu riwayat bahawa Rasulullah pada bulan bulan biasa baginda selalu bersedekah.
“Tetapi bila tiba Ramadan, baginda S.A.W. lebih banyak lagi bersedekah,” katanya.

Beliau berkata, keadaan hujan lebat mulai reda sekitar pukul 6 petang itu tidak menghalang pihaknya mengedarkan bubur lambuk kepada pengunjung bazar yang sibuk membeli juadah berbuka.

Categories
SELANGOR

Ramadan: Masjid Negeri sedia 2,000 bubur lambuk ‘gearbox’

SHAH ALAM, 29 MEI: Lebih 2,000 bubur lambuk diedarkan secara percuma setiap hari di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (MSSAAS) sepanjang Ramadan ini bagi memenuhi permintaan tinggi orang ramai.

Imam Besarnya, Muhammad Farhan Wijaya berkata, pertambahan itu dibuat berdasarkan permintaan terhadap bahan makanan itu sejak tahun lalu yang meningkat dengan sambutan membanggakan.

“Sebelum ini kita menyediakan 1,500 bubur lambuk untuk diedarkan kepada orang ramai tetapi ekoran permintaan semakin banyak, maka kita putus menambah bilangan bahan makanan itu, pada tahun ini.

“Program tahunan dijalankan lebih 10 tahun lalu itu nyata mendapat sambutan umat Islam sepanjang Ramadan dan bagi menjayakannya pengurusan masjid mendapat kerjasama baik penyumbang serta pihak berkaitan,” katanya.

Beliau berkata, pengurusan MSSAAS melantik katerer khusus bagi tujuan penyediaan bubur lambuk itu dan ia akan dimulakan pada jam 10 pagi serta diedarkan selepas solat Asar, pada setiap hari.

Katanya, sekumpulan petugas termasuk 30 sukarelawan terbabit dalam tugasan harian itu dengan diketuai Zainur Rahman Abdullah selaku Ketua Chef di masjid berkenaan.

Sementara itu, Zainur Rahman berkata, bubur lambuk itu disediakan dengan bahan antaranya daging, udang kering, rempah, kentang, sayur-sayuran juga kacang tanah.

“Dengan jumlah bubur lambuk bertambah tahun ini, maka kita gunakan lebih bahan untuk penyediaannya.

“Istimewanya bubur lambuk ini mungkin disebabkan tulang ‘gearbox’ yang saya adunkan di dalamnya,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Penyumbang dihargai jayakan program bubur lambuk Masjid Negeri

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 27 MEI: Kerajaan Negeri menghargai pihak penyumbang yang turut serta menjayakan program mengedar bubur lambuk sempena Ramadan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, bermula hari ini.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, program tahunan dijalankan di masjid itu terus mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai saban tahun.

Berikutan itu, katanya, pihak masjid memutuskan menambah jumlah edaran bubur lambuk kepada lebih 2,000 sehari demi memenuhi permintaan jemaah masjid dan orang ramai.

“Usaha membuat kebajikan dalam Ramadan amat dituntut di dalam Islam dan saya berterima kasih kepada semua penyumbang yang bersedia dengan perbelanjaan bagi menjayakannya.

MB Bubur Lambuk1“Program ini mendapat sambutan baik dan tahun ini sahaja pihak masjid terpaksa menyiapkan lebih 2,000 bubur lambuk untuk diedar setiap hari,” katanya kepada media selepas Majlis Pengedaran Bubur Lambuk di perkarangan masjid di sini, hari ini.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri turut menghargai semua pihak berkaitan termasuk kumpulan sukarelawan yang turut serta dalam menjayakan program di sepanjang Ramadan itu.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Orang ramai gembira MB serah sendiri bubur lambuk

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 18 JUN: Orang ramai tidak melepaskan peluang menerima bubur lambuk diagihkan sendiri Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, pada hari pertama Ramadan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.

IMG_20150618_173836Kesempatan luar dugaan itu diperoleh apabila Mohamed Azmin sendiri mengatakan ingin memberikan bubur itu selepas Majlis Pelancaran Bubur Lambuk dan Pengimarahan Masjid.

Tentunya detik itu menggembirakan mereka yang hadir kerana ‘dipaksa’ menunggu majlis dirasmikan.

Kemesraan Mohamed Azminbersama orang ramai memang dirasai dalam program itu.

Program tahunan anjuran Masjid Negeri adalah bersempena kedatangan Ramadan dan mengimarahkan masjid dengan pelbagai aktiviti dianjurkan.

-NFN-

Categories
SELANGOR

AKTIVITI YB: 300 pengunjung Bazar Ramadan Bandar Mahkota Cheras terima bubur lambuk

Oleh: HAFIZAN TAIB

CHERAS, 16 JULAI: Sempena bulan Ramadan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Razaly Hassan mengagihkan 300 bungkusan bubur lambuk kepada orang ramai di bazar Ramadan, Bandar Mahkota Cheras di sini, pada 13 Julai lalu.

Sememangnya bubur lambuk menjadi salah satu juadah pilihan di bulan mulia ini apabila dalam masa singkat ia dapat dihabiskan kerana pengunjung bazar tidak melepaskan peluang mendapatkannya.

razaly03Razaly juga berharap program sama dapat diadakan saban tahun bagi memeriahkan sambutan bulan Ramadan di DUN Dusun Tua.

“Sambutan agak menggalakkan dan program ini diharap mampu diteruskan lagi pada tahun akan datang,” katanya selepas selesai bubur lambuk itu diedarkan.

Razaly merakamkan penghargaan atas kerjasama diberikan Surau As Sharikin dan AJK PAS Bandar Mahkota Cheras dalam menjayakan program terbabit.

Beliau turut meninjau bazar Ramadan terbabit selain beramah mesra dengan peniaga dan orang ramai yang berkunjung di situ.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Worldwide teruskan tradisi edar bubur lambuk

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 10 JULAI: Sebanyak 3,000 bekas bubur lambuk diagihkan kepada penduduk, surau, masjid, rumah anak yatim dan Maahad Tahfiz sekitar Shah Alam dan Klang melalui Program Masak Bubur Lambuk dan Penyampaian Sumbangan Ramadan anjuran Worldwide Holdings di pejabatnya, dekat Seksyen 7, hari ini.

Program tahunan yang yang menjadi tradisi Worldwide Holdings itu bertujuan berkongsi keuntungan syarikat, di samping beramah mesra dengan masyarakat khususnya yang beragama Islam dalam menjalani ibadah puasa.

t4Ketua Pegawai Eksekutif Worldwide Holdings Berhad, Datin Paduka Norazlina Zakaria, berkata program itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat berbentuk kemsyarakatan yang telah dirancang bagi mengagihkan keuntungan yang diperoleh kepada masyarakat.

“Diharapkan dengan program seumpama ini akan meningkatkan lagi jalinan kemesraan antara masyarakat akan diteruskan pada masa akan datang,” katanya pada majlis itu.

t1Selain sumbangan bubur lambuk, sumbangan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri berjumlah RM30,000 turut diberikan kepada 12 buah surau serta masjid di sekitar kawasan tapak projek yang dimajukan Worldwide Holdings seperti Seksyen 7 Shah Alam, Subang Bestari, Puncak Alam, Dengkil, Kuala Langat dan Kuala Selangor.

Antara program CSR lain yang dilaksanakan adalah program pembasmian kemiskinan atau Worldwide Holdings Prihatin) seperti sumbangan bagi membantu saudara Islam Syria dan Palestin, bantuan pembinaan masjid dan surau untuk masyarakat Islam Kemboja dan Tabung Bencana Banjir Pakistan.

-NFN-