Categories
GLOBAL

Sedia runding dengan Korea Utara

SEOUL, 10 MEI: Presiden baru Korea Selatan, Moon Jae-In mengumumkan kesediannya ke Pyongyang bagi mengadakan rundingan damai walaupun sedang berdepan ketegangan dengan Korea Utara.

Dalam ucapan perasmiannya selepas mengangkat sumpah jawatan itu di Dewan Negara di Seoul, beliau menyatakan sokongan terhadap rundingan damai terbabit, berbeza dengan retorik berbaur ancaman dari pentadbiran Donald Trump, beberapa minggu kebelakangan ini.

“Jika perlu, saya akan segera terbang ke Washington,” kata pemimpin berhaluan kiri itu, lapor AFP.

Beliau menamakan bekas wartawan Lee Nak-Yon, seorang ahli parlimen selama empat penggal sebagai Perdana Menteri dan melantik Suh Hoon sebagai ketua baru Perkhidmatan Perisikan Negara yang pernah memainkan peranan penting dalam menyediakan negara itu untuk Sidang Kemuncak Korea, pada 2000 dan 2007.

Terdahulu. keputusan rasmi menunjukkan Jae-in memperoleh kemenangan mutlak selepas penduduk yang keluar mengundi mencatatkan jumlah tertinggi dalam tempoh 20 tahun, walaupun dalam keadaan tidak menentu di Korea Selatan.

Menurut data dikeluarkan Suruhanjaya Pilihanraya Kebangsaan, Jae-in berjaya meraih 41.1 peratus undi berbanding calon Parti Konservatif, Hong Joon-pyo (24 peratus) dan calon haluan tengah, Ahn Cheol-soo (21.4 peratus).