Categories
GLOBAL

Moon, Putera Mahkota Arab Saudi adakan sidang kemuncak di Korea Selatan

SEOUL, 26 JUN: Presiden Korea Selatan, Moon Jae In akan mengadakan sidang kemuncak dengan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman hari ini untuk membincangkan kaedah meningkatkan kerjasama ekonomi dan hubungan dua hala, lapor agensi berita Yonhap.

Lawatan dua hari Putera Mahkota Arab Saudi ke Korea Selatan itu adalah yang pertama sejak 1998.

Arab Saudi adalah rakan dagang terbesar Korea Selatan di Timur Tengah dan pengeksport nombor satu minyak mentah untuk ekonomi terbesar keempat di Asia.

Kedua-dua pihak juga akan menumpukan kepada perbincangan mengenai skop kerjasama lain termasuk bidang teknologi maklumat dan komunikasi, tenaga nuklear dan penjagaan kesihatan.

Presiden Korea Selatan itu juga mahu mendapatkan sokongan Arab Saudi untuk usahanya mewujudkan keamanan di Semenanjung Korea.

Turut dijadual diadakan majlis makan tengah hari dihoskan Moon, dijangka dihadiri konglomerat terkenal termasuk Naib Pengerusi Samsung Electronics Lee Jae Yong dan Naib Pengerusi Eksekutif Kumpulan Hyundai Motor Chung Euisun.

– BERNAMA

Categories
GLOBAL

Trump temu Moon dalam sidang kemuncak di Korea Selatan pada Jun

WASHINGTON, 16 MEI: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump akan melawat Korea Selatan bulan depan untuk mengadakan sidang kemuncak dengan Presiden Moon Jae-in, antara lain untuk membincangkan mengenai isu Korea Utara dan hubungan dua hala.

Menurut agensi berita Yonhap, memetik pengumuman kerajaan Korea Selatan dan AS, kunjungan Trump itu juga bersempena lawatannya ke Jepun bagi menghadiri sidang kemuncak G20 yang dijadual pada 28 hingga 29 Jun.

Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan kaedah untuk mewujudkan rejim damai yang kekal di Semenanjung Korea serta mengukuhkan hubungan dua hala, menurut jurucakap pejabat presiden Korea Selatan, Ko Min Jung.

Sementara itu, setiausaha akhbar Rumah Putih, Sarah Sanders dalam satu kenyataan berkata, kedua-dua pemimpin akan meneruskan perbincangan mengenai usaha mewujudkan Korea yang bebas senjata nuklear.

Kali terakhir Trump ke Korea Selatan pada November 2017 di tengah-tengah ketegangan dengan Korea Utara.

Tahun lepas juga menyaksikan tiga sidang kemuncak diadakan antara Moon dengan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un serta pertemuan bersejarah antara Trump dan Kim.

Sidang kemuncak pertama Trump dan Kim berlangsung di Singapura pada Jun 2018, disusuli sidang kemuncak kedua di Vietnam pada Februari lalu yang berakhir tanpa sebarang kata sepakat.

Ketegangan terbaru tercetus selepas Korea Utara melancarkan satu siri projektil roket, termasuk peluru berpandu jarak dekat, ke Laut Timur pada 4 dan 9 Mei.

AS pula pada minggu lepas mengumumkan buat pertama kali, pihaknya merampas sebuah kapal kargo Korea Utara, disyaki membawa eksport arang batu dan melanggar sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dikenakan ke atas rejim itu.

– BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Agong dan Permaisuri sambut Presiden Korea Selatan

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LUMPUR, 13 MAC: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar, menyambut ketibaan Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in, di Dataran Parlimen, hari ini.

Baginda diiringi Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta anggota Kabinet kerajaan.

Jae-in tiba di Malaysia, semalam untuk memulakan lawatan rasmi selama tiga hari, di negara ini.

Acara sambutan dimulakan dengan lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan pancaragam pusat Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dari Pangkalan TLDM Lumut, diikuti 21 das tembakan meriam.

Jae-in kemudian memeriksa kawalan kehormat enam pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja yang diketuai Mejar Mohd Izham Ahmad Rashidi.

Pemimpin Korea Selatan itu juga dijadualkan menghadiri mesyuarat di Jabatan Perdana Menteri, petang ini dan diraikan dalam jamuan di Istana Negara malam ini, yang dihoskan Yang di-Pertuan Agong.

Memetik kenyataan Wisma Putra, lawatan itu bakal merancakkan lagi hubungan Kuala Lumpur-Seoul dan mengembangkan hubungan dua hala kedua-dua negara terbabit.

Jae-in juga akan mengadakan mesyuarat dua hala dengan Dr Mahathir untuk membincangkan pelbagai isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

Terdahulu, kali terakhir Malaysia pernah menerima lawatan Presiden Korea iaitu Lee Myung-bak, pada 9 hingga 10 Disember 2010, untuk memperingati ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara itu.

Categories
GLOBAL

Sedia runding dengan Korea Utara

SEOUL, 10 MEI: Presiden baru Korea Selatan, Moon Jae-In mengumumkan kesediannya ke Pyongyang bagi mengadakan rundingan damai walaupun sedang berdepan ketegangan dengan Korea Utara.

Dalam ucapan perasmiannya selepas mengangkat sumpah jawatan itu di Dewan Negara di Seoul, beliau menyatakan sokongan terhadap rundingan damai terbabit, berbeza dengan retorik berbaur ancaman dari pentadbiran Donald Trump, beberapa minggu kebelakangan ini.

“Jika perlu, saya akan segera terbang ke Washington,” kata pemimpin berhaluan kiri itu, lapor AFP.

Beliau menamakan bekas wartawan Lee Nak-Yon, seorang ahli parlimen selama empat penggal sebagai Perdana Menteri dan melantik Suh Hoon sebagai ketua baru Perkhidmatan Perisikan Negara yang pernah memainkan peranan penting dalam menyediakan negara itu untuk Sidang Kemuncak Korea, pada 2000 dan 2007.

Terdahulu. keputusan rasmi menunjukkan Jae-in memperoleh kemenangan mutlak selepas penduduk yang keluar mengundi mencatatkan jumlah tertinggi dalam tempoh 20 tahun, walaupun dalam keadaan tidak menentu di Korea Selatan.

Menurut data dikeluarkan Suruhanjaya Pilihanraya Kebangsaan, Jae-in berjaya meraih 41.1 peratus undi berbanding calon Parti Konservatif, Hong Joon-pyo (24 peratus) dan calon haluan tengah, Ahn Cheol-soo (21.4 peratus).