Categories
SASTERA

Sejuta Bunga dan Filem Eksperimen

OLEH ABROR RIVAI

N.G. Chernishevski, seorang pemikir Rusia mengatakan, “Realiti lebih indah dibandingkan dengan karya seni dan hidup yang sebenarnya lebih indah ketimbang apa yang dilukiskan dalam kreasi artistik atau pengkaryaan.”

Ia bersesuaian sekali dengan yang seniman Van Gogh gundahkan. Saya juga tergundah. Semua orangpun. Sebab itu, saya tuliskan ayat-ayatnya.

Ia sebahagian dari yang sepatutnya difikirkan tentang filem atau sinema. Bagi saya, merasai pengalaman sinema sebenar ialah apabila kita melihat diri dalam bingkai watak-wataknya.

Saya pernah merasainya. Saya merasainya lagi menerusi dua filem yang hampir tidak dihiraukan dek penonton sudah terbiasa menikmati filem blockbuster. Ia baik tapi selera saya tidak seperti itu.

Saya sengaja bersikap selektif kerana tidak mahu menjadi bebal atau mabuk dengan keselesaan tanpa daya fikir. Ia murah tanpa meninggalkan persoalan.

Filem tidak harus ada jawapan. Filem seharusnya banyak meninggalkan persoalan agar selalu difikirkan. Pendedahan massa hasil sogokan filem Hollywood menyebabkan garis berfikir rakyat tidak pernah berganjak mahupun seinci termasuklah kumpulan pemikir dan anak muda terpelajar.

Bukan mahu merendahkan fikrah khalayak ataupun pengamat seni berat, saya hanya menyatakan soal lumpuhnya industri rentetan filem tempatan tidak jujur diraikan di panggung.

Sejuta filemTerhadap filem popular, khalayak boleh bersikap selektif seperti saya – hanya memilih Hanyut dan Interchange – dua filem tempatan terbaik tahun lalu tetapi kenapa tidak mendapat tontonan setaraf reputasinya?

Tidak cukup tinggi lagikah mutu filem? Saya tertanya-tanya, ke manakah perginya penagih movie dan peminat sastera perdana?

Mustahil tak tahu. Kata pembaca tegar sastera klasik, pencandu buku, seniman, pemain serta khalayak buku indie? Peluang menonton filem sedemikian terlalu langka dalam setahun.

Saya kecewa. Mungkin lebih baik mengalah atau tinggalkan dunia hiba sinema Malaysia yang makin jahanam. Bukan mengutuk, mulut ini saja yang rewel.

Dua filem yang saya maksudkan ialah In April The Following Year, There Was A Fire arahan Wichanon Somunjarn (2012, Thailand) dan Mohican Comes Home arahan Suichi Okita (2016,Jepun).

Filem itu bukan sahaja menangguh suramnya rasa murung; saya suka menggambarkan betapa sebenarnya industri keruh kerana ia mengalami kekejangan yang tragedik tetapi juga memulihkan semangat untuk kembali bikin filem.

Hikmah di sebalik kemurungan industri filem Malaysia ialah ia sering menjadi misteri dan boleh dimanfaat dengan cara sentiasa berfikir bagaimanakah cara paling kreatif untuk memecahkan belenggu.

Benar, karyawan sejati harus selalu dibakar, dirangsang, dibasuh oleh karya seni itu sendiri sebelum mencerap persoalan
semasa yang dijalinkan secara kreatif dan mendalam menerusi naratif supaya ia menjadi inspirasi.

Ini yang terjadi sehari dua setelah menonton dua filem itu.

Ia drama tentang Nhum, kontraktor muda di Bangkok yang menemukan dirinya agar keluar dari keselesaan bekerja dan balik ke pekan kecilnya.

Kelihatan seperti membosankan dengan plot samar dan lakonan flat. Pelakonnya membawakan watak tanpa emosi dan tone, dengan mudah karekternya hilang kerana perubahan emosi yang hampir kosong.

Tapi persoalannya jauh lebih besar ialah struktur sinemanya yang berdiri dengan cara itu. Lalu penonton tenggelam dalam pembingkaian.

Kesenian itu lebih ranum dinikmati jika ia tidak dimuntahkan secara langsung, sebaliknya dijahit secara kreatif, apabila dengan bijak pesanan kebenaran disampaikan dengan aksi dokumenter langsung.

Saya sebenarnya mengajak anda menonton filem ini dengan cara huraian berlapis-lapis kerana tidak mahu menghilangkan nilai seni jika dicerahkan secara didaktik. Satu hala dan semaksud dengannya.

Saya teringat tentang diri sebaik habis menonton. Teringatkan bagaimana terpaksa meneruskan kehidupan di Kuala Lumpur setelah meninggalkan kampung kerana mahu menjadi pembikin filem. Nawaitu saya salah dimengerti.

Ibu bapa tidak mahu saya mensia-siakan hidup kerana memilih seni terutama filem. Sememangnya masa depan(sebenarnya masa itu) saya menjadi gelita.

Hampir berputus asa dan kembali ke kampung, tunduk kepadat status quo yang sekonyong-konyong memijak kepala.

Hidup yang sekecil itu menjadi sangat besar selepas saya menonton filemnya. Kagum bagaimana cinta sejati boleh mengubah angan-angan yang buta jadi manis bermata.

Nasiblah saya kuatkan semangat untuk tetap berada dalam landasan yang saya pilih. Meski terpaksa berhadapan dengan dunia yang sentiasa menggoda sehingga membuat diri akhirnya malu tercabul.

Jika tidak, saya mungkin tidak dapat menghayati filemnya senikmat itu. Pergi mengusaha dan mengerjakan pembikinan sebuah filem saya sendiri bertajuk Sejuta Bunga.

Ia ialah sebuah filem eksperimen yang meletakkan diri sendiri sebagai subjek. Seluruh perjalanan hidup khususnya kembara ke dunia filem itu cuba diterjemah secara visual.

Cuba mengangkat tema kesunyian, khususnya kesunyian seorang ibu setelah kehilangan suami iaitu abah saya. Saya menggunakan diri saya kerana cuba menyorot persoalan ini dengan metaforik, Filem adalah masa dan sebuah putaran, ia berjalan dan kembali semula dalam pusingannya yang lengkap.

Filem adalah paradigma sebuah kehidupan dalam erti kata lain. Kesukaran saya untuk menjadi seorang pengarah filem kerana pandangan dan attitude yang menongkah arus adalah gambaran kepada atau sebenarnya ingin mengarah ke dalam makna kesunyian sebenar.

Saya bercerita perubahan ekonomi dunia yang mendorong anjakan dasar negara berhijrah dari zaman pertanian kepada negara industri adalah cacat. Unjuran menyatakan pertumbuhan ekonomi ampuh iaitu kita bersedia menjadi negara maju hanya omong kosong.

Kenyataannya, kita hidup dalam kesunyian dan kemajuan hanya tinggalan memori. Filem ini masih dalam proses memasukkan runut bunyi.

Mohican Comes Homes pula mengisahkan tentang seorang Mohican, seorang punk rocker musisi berat dengan ideologinya, meninggalkan Tokyo dan pulang ke kampung halaman di sebuah pulau kecil Hiroshima.

Ada berbagai-bagai kesunyian dan kesunyian seorang Mohican tentu tidak sama dengan yang kita hadap hari-hari. Pegangan muzik turut membangun identiti diri sebenar.

Kerana itu saya melihat kehalusan filem lebih dari sekadar juadah seni kerana selari dengan ungkapan Pierre Rissient. Saya menghadamnya dengan berpandangan filem adalah tentang bagaimana berdirinya sebuah bangsa.

Identiti atau idealisme dan nasionalismenya haruslah tertegak, mengatasi seluruh oknum seni atau integriti artistiknya sendiri.

Saya tidak punya banyak masa bercerita, perhitungan dalam mengharungi kesedihan hidup ini akhirnya dilihat dalam manis tertawa.

Saya terubat dengan segala keresahan dan keraguan masa lalu. Syukur filem akan selalu membuka dan menunjukkan jalan keluarnya.

Saya ingin membuat lagi filem tentang diri saya. Ingin mengangkat kesusahan, keresahan saya yang tak pernah usai. Menceritakan kepada Abah bagaimana saya meneruskan kehidupan dengan membuat kerja filem walau bukan untuk mengaut laba dari glamour industri.

Setidak-tidaknya saya dapat menyara kehidupan selepas berkeluarga, bayar pinjaman itu ini meskipun pada hakikatnya Abah sudah tidak ada. Saya tidak tahu macam mana harus menceritakan semuanya.

Saya mungkin merindukannya tetapi semua orang pasti mengalami perasaan sama. Mungkin inilah amanah saya selain keluarga dan itulah sebabnya saya berusaha sebaik mungkin untuk sentiasa memberinya pencerahan agar Abah dan semua orang tahu bahawa perjuangan kita masih sama, hanya jalannya berbeda.

Mungkinkah Abah mendengarnya?