Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Skim CERIA selesai isu Pangsapuri Cheras Utama

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 4 MEI: Kerajaan Negeri akan membantu penduduk di Pangsapuri Cheras Utama, Kajang menerusi peruntukan Skim Baikpulih Negeri Berkebajikan (CERIA) susulan isu tangki pecah, baru-baru ini.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, pihaknya sudah mengarahkan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) serta Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) untuk membuat penilaian.

Katanya, projek yang dimajukan oleh Rawang Jati itu akan segera dibaik pulih.

“Baik pulih boleh dilakukan menggunakan peruntukan CERIA Kerajaan Selangor kerana pangsapuri ini dikategorikan sebagai kos sederhana.

“Ia adalah perkongsian kos antara Kerajaan Negeri sebanyak 60 peratus dan penduduk, 40 peratus serta boleh dibayar secara ansuran,” katanya yang melawat pangsapuri itu, semalam.

Pada masa sama, Iskandar mengarahkan Badan Pengurusan Bersama (JMB) pangsapuri terbabit menyiasat tangki air di blok lain jika berlaku keretakan.

ISKANDAR SAMADKatanya, JMB juga diarahkan mengurangkan paras air di tangki lain kepada separuh paras biasa untuk mengurangkan tekanan sehingga siasatan pakar dilakukan.

“Syarikat Air Selangor juga menghantar dua tangki statik bagi kegunaan penduduk, namun masalahnya bukan bekalan tetapi air tidak sampai kepada unit kediaman selepas dilakukan ‘by-pass’ supaya tidak menggunakan tangki.

“Saya akan cuba mencari pam air daripada Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) atau pusat khidmat wakil rakyat yang ada,” katanya.

Terdahulu, sebahagian dinding tingkat 12 pangsapuri itu runtuh selepas tangki air bangunan di Jalan CU 4A, pecah.

Runtuhan itu turut menghempap sebuah kereta Proton Wira dan sebuah motosikal yang terletak di bawah bangunan itu dan membabitkan bahagian ruang tamu rumah berkenaan serta tiada mangsa dilaporkan cedera dalam insiden itu.