Categories
SASTERA

Soalan Adi kepadaku

OLEH ZAHID M. NASER

SEJUJURNYA, canda gurau sudah tidak nikmat lagi. Setelah satu soalan tidak dapat aku jawab dengan keyakinan. Ia membuat diriku menjadi lebih diam, menjadi lebih siksa.

Tuhan tak endah menolong saat ini, aku harus membantu diriku sendiri. Kiranya, jika tiga hari kau diberi nyawa untuk menjawab satu soalan. Apakah kau bisa tidur? Begitulah perasaanku ketika ini.

Ya, aku baru saja ditanya apa yang paling aku cintai dalam hidup. Setelah hidup tujuh puluh lima tahun aku diminta jawab soalan itu.

Ia soalan lurus, mulut genit yang menanyakannya adalah cucuku sendiri. Cucu yang sedang baring di atas katil menunggu mati.

Aku bingung ketika dia tersenyum. Airmataku tak jadi mengalir, bahkan tak bisa hadir. Aku juga tak mampu bergurau dan ketawa seperti selalu lantaran soalan itu.

Dalam hidupku, aku ada banyak cinta. Cinta pertama sudah lama aku lupakan. Cintaku kepada isteri, tak pernah kabur.

Cintaku kepada anak-anak, boleh aku ceritakan dengan kalimat dan tulisan. Tetapi menjawab soalan dari cucuku yang sedang mati.

Membuat aku hiba, gila. Aku sayang dia, dan aku cinta dia. Namun, kalau jawapanku itu, aku tidak jujur.

Kerana memang ada kesangsian dalam setiap cinta-cinta yang aku sebutkan.

Aku merenung sekujur badannya. Dia masih suka senyum, dia masih suka ketawa walaupun dia tahu dia akan mati.

Menjawab soalan orang yang tahu bila dia akan mati memerlukan kejujuran yang tulen. Dan aku tak tahu apa-apa.

“Tokwan, cuba cakap pada Adi, apa yang paling Tokwan suka, paling Tokwan cinta?”

Aku berhenti sejenak. Lama aku berfikir, dan dia tidur sejurus bertanya. Malam nanti dia akan mengerang sakit.

Aku tahu dia harus berehat dan meninggalkan aku sendirian berfikir untuk menjawab soalan yang mungkin saja jawapan terakhirku dari soalan-soalannya.

Adi tahu aku cinta buku, rumahku sudah jadi perpustakaan. Dan dia juga tahu, aku insan menulis. Dia membaca cerita-ceritaku.

Adi sendiri pernah beritahu dia akan menjadi sepertiku satu hari nanti.

Tetapi dia hanya mahu jadi penulis, dia tak mahu menjadi imam masjid sepertiku. Adi, hanya mengenal aku sewaktu aku sudah menjadi imam masjid kira-kira lima belas tahun lalu.

Dia tidak mengenali aku sebagai seorang akademik, sebagai seorang yang menghabiskan masa di dalam bilik membuat kajian-kajian.

Dan kemudian mengajar di bilik kuliah. Dia juga tak pernah tahu seluruh bacaanku, dan apa yang aku ajar di bilik kuliah kepada pelajar-pelajarku.

Barangkali dia tidak tahu, aku dulu mengajar tentang dasar-dasar politik dan ekonomi. Aku mengajar tentang pemikir-pemikir Nusantara, dan aku juga mengajar tentang revolusi industri zaman Mahathir.

Dan aku juga mengajar apa saja dari falsafah-falsafah kanan tanpa aku meletakkan diriku di mana-mana. Kadang-kadang aku jujur, dan kadang-kadang aku mendiamkan diri.

Aku pernah ditanya tentang Malaysia, ke mana ia akan pergi. Dan aku menjawab terus terang aku tidak tahu.

Pun begitu, ramai yang tahu aku menikmati semua karya Lu Xun. Bahkan, aku menterjemah karya-karyanya. Kerana itu, aku digelar sebagai seorang kiri.

Namun apabila aku mulai menyukai negarawan leluhur Amerika yang menulis dan melukis negaranya. Aku dicop pula sebagai orang kanan.

Untuk aku, untuk mencintai, kau tak perlu mengikut, kau tak perlu menonong ditarik ke sana ke mari sebagai lembu.

“Wahai Adi, Adi fikir apa yang paling Tok Wan cinta?”

Adi tak jawab. Dia meradang sekejap. Di akhir radangnya ada senyum. Kemudian mengatakan dia tidak pernah mengenali aku betul-betul.

Adi hanya menjawab dia menyukai cerpen yang aku tulis tiga puluh tahun dulu. Dia tidak menyukai tulisanku yang sekarang ini. Katanya, tulisanku yang sekarang ini sangat jauh dari dirinya.

SOALAN“Kenapa Tok Wan tulis Kailani harus ke penjara setelah dia menang dalam perang melawan Lorat?

“Kenapa Kailani, yang menang itu dengan senang saja menyerah kepada takdir untuk dihukum gantung?

“Bukankah, dia sudah ramai pengikut? Bukankah dengan mudah dia menang pilihanraya setelah itu?

“Kenapa Tokwan sukakan tragedi?” Bertalu-talu mukanya menyoal.

“Kenapa baru sekarang Adi tanya tentang tulisan-tulisan Tokwan? Dulu-dulu Adi tak tanya begini. Adi hanya suka jawab suka dan tak suka.” Aku hairan.

“Adi nak jadi macam Tokwan, nak tulis-tulis.. Tapi Adi macam dah tak ada masa..

“… Tokwan jawablah soalan Adi..”

Aku menerangkan kepada Adi, tragedi mesti ada. Kalau tidak tulisanku itu akan kaku dan kering.

Tambahan lagi, kataku, Kailani bukan pragmatik. Kailani adalah sosok feudalistik.

Heroismenya cenderung memakan diri.

“Atau, Tokwan nak bercerita jangan jadi hero?”

Ya, jawabku. Betul juga pendapatnya itu. Tetapi, kataku hero itu bukan macho saja. Hero itu, kataku sanggup meninggalkan apa saja kesenangan yang dia ada tanpa apa-apa pulangan.

Sebab itu Kailani hendak mati. Itu adalah dialog dua hari sebelum dia bertanya, soalan yang maha berat tadi. Apa yang paling aku cinta dalam hidup.

“Adi, rehatlah, esok Tokwan cuba jawab soalan Adi…” Aku memujuk dalam hati, matanya bersinar ketika dia menutup mata berehat.

Aku menuruni hospital, dan mengeluarkan dua kotak kretekku setelah sampai di lobinya. Tabiat sedari muda. Dua kotak harus ada dalam poketku.

Surya aku buka, masih ada enam batang di dalamnya. Dan sampul plastik kotak yang satu lagi masih kemas terikat.

Aku cucuh satu dan membiarkan fikiranku melayang. Saat itu paling bahagia, setelah seharian senyap dan diam. Aku ketap puntungnya dan membiarkannya terbakar.

Pukul tiga pagi, pagi yang itu, Adi meninggalkan kami. Selesai jenazah selamat dimakamkan dan ditahlil, aku keluarkan kretekku sekali lagi. Aku hisap dalam-dalam.

“Adi, cuba tanya tuhan. Apa yang paling aku cinta dalam hidup. Kerana jujur aku tidak tahu..” Pinta suara akalku.

Isteriku datang dekat dan memeluk lenganku.

“Abang, moga Adi selamat dan tenang ya..”

“Ya Ros, moga dia sejahtera. Tapi Ros, Abang masih berhutang jawapan dengan Adi..”

“Ros tahu,Ros kenal Adi, dia akan tanya lagi nanti..” Ros melihatku. Mata kami bersembunyi di balik kaca hitam.

Menyorok. Kami sekeluarga berlalu. Meninggalkan kubur dan ibu bapanya yang masih bersimpuh di antara dua nisan Adi. Aku pula, harus singgah ke kedai membeli kretek dalam perjalanan pulang nanti. Ia sudah habis.