Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Dakwaan lompat parti hanya provokasi jahat

OLEH AFIX REDZUAN

SEPANG, 5 MEI: Dakwaan beberapa Ahli Dewan Negeri (ADN) Negeri Selangor bakal melompat parti sekaligus mencetuskan polemik pentadbiran Kerajaan Negeri disifatkan sebagai satu provokasi jahat.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin berkata, tindakan itu hanya bertujuan mewujudkan suasana tidak stabil kepada Kerajaan Negeri, namun dengan kehadiran ADN daripada setiap wakil parti menafikan segala dakwaan.

“Ini semua provokasi jahat yang cuba mencetuskan ketidakstabilan Kerajaan Negeri.

“Tetapi saya gembira dan yakin kepada semua ADN Selangor yang telah memberikan khidmat terbaik dan mereka sentiasa menumpukan soal kerja dan tidak bermain politik jahat seperti dilakukan musuh-musuh kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sejurus tiba daripada Mesir selepas mengadakan lawatan kerja ke Timur Tengah sejak 1 Mei lalu.

Antara nama yang ditimbulkan bakal meninggalkan PAKATAN daripada KEADILAN termasuklah
Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi, Rodziah Ismail (Batu Tiga, Yaakob Sapari (Kota Anggerik) dan Dr Idris Ahmad (Ijok).

Sementara daripada PAS adalah dua Exco Kerajaan Selangor, Dato’ Iskandar Abdul Samad dan Dato’ Ahmad Yunus Hairi bersama tiga lagi ADN, Dr Abd Rani Osman (Meru), Dr Halimah Ali (Selat Klang) serta Hasbullah Mohd Ridzwan (Gombak Setia.

Disebalik dakwaan itu, Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi dan Exco Hal Ehwal Agama, Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi turut bersama-sama Mohamed Azmin menjalankan tugas ke Timur Tengah yang turut disertai ExconPendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi serta Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad.