Categories
SASTERA

Tentang manusia, sastera dan cengkaman teknologi

OLEH WADIASSOFI JAAFAR

KESUSASTERAAN memainkan peranan penting dalam menyuburkan minda masyarakat mengenai betapa pentingnya dunia sastera pada hari ini. Ini membuktikan bahawa karya-karya sastera yang terbaik dan sempurna lahir daripada penulis berkaliber.

Sastera terus hidup kerana adanya hubungan antara sastera dengan masyarakat. Erti kesusasteraan kepada kehidupan manusia dilihat dalam dua sudut pandangan iaitu sudut pandangan yang lama dan baharu.

Ia sesuai dengan hakikat sastera itu sendiri yang berkembang dari segi bentuk, jenis dan fungsinya. Sastera berkembang mengikut perubahan zaman dan tuntutannya. Keadaan ini memberi kesan terhadap erti sastera kepada kehidupan manusia.

Mata pelajaran Kesusasteraan Melayu mula diperkenal pada tahun 1957. Matlamatnya untuk membolehkan pelajar menjiwai unsur dan nilai murni dari segi kerohanian, kemanusiaan, kemasyarakatan, kebuda-yaan, kewarganegaraan, menanam perasaan bangga dan cinta tanah air dalam satu wawasan budaya kebangsaan yang dihasratkan tercapai. Peranan utama sastera ialah membina insaniah dalam kehidupan manusia.

Hadiah-sasteraDalam masyarakat berasaskan sains dan teknologi seperti di Malaysia, kehadiran sastera sangat bererti.

Tanpa sastera, masyarakat maju kehilangan unsur penting kehidupannya. Hakikat ini ditegaskan oleh John Naisbitt melalui bukunya bertajuk High Tech High Touch yang mengatakan bahawa ada teknologi (high tech) yang memabukkan manusia kerana mencengkam semangat manusia dan meningkatkan pencarian manusia tentang makna atau kepastian.

Hasilnya, manusia berada dalam keadaan yang kompleks dan sering pula terperangkap dengan hubungan yang bersifat paradoksikal antara teknologi dengan usaha mencari makna. Sehubungan itu, Naisbitt menyarankan manusia agar mencari teknologi yang memelihara kemanusiaan dan menolak teknologi yang merosakkan atau mengganggu kemanusiaan.

Beliau menyarankan manusia melihat seni, cerita, drama, agama, alam semula jadi dan masa sebagai aspek yang penting. Yang disebutkannya sebagai high touch itu merujuk kepada keperluan dalam kehidupan manusia yang mementingkan sains dan teknologi. Di sinilah sastera dapat dikelaskan sebagai high touch yang perlu dalam kehidupan masyarakat maju, seperti masyarakat di Malaysia. Sastera bukan sekadar bahan bacaan tetapi lebih daripada itu.

Sasterawan Negara, Profesor Emeritus Dato’ Dr Shahnon Ahmad menegaskan bahawa sastera sebagai seismograf kehidupan iaitu sastera bukan sahaja mencatatkan tetapi menganalisis perihal manusia dan masyarakat. Melalui sastera, banyak yang dapat dipelajari.

Bagi Shahnon, sastera sangat diperlukan untuk melengkapkan nilai sesuatu masyarakat. Melalui sastera, masyarakat juga dapat mempelajari sejarahnya untuk memperbaiki kehidupan mereka.
Aristotle meletakkan sastera lebih utama berbanding sejarah kerana sastera dapat meramal masa hadapan masyarakat itu. Sastera mampu menembusi batas kemungkinan. Kemungkinan sastera melihat masa hadapan masyarakat ada hubungannya dengan keupayaan sastera untuk memberi kebijaksanaan kepada pembacanya dengan membawa pembaca melihat dirinya dan persekitarannya.

INFO HADIAH SASTERAAllahyarham Datuk Dr Usman Awang mencatatkan bahawa sastera meliputi semua aspek kehidupan manusia secara meluas. Sastera ialah satu bentuk seni yang menggunakan bahasa. Melalui bahasa, keperihalan manusia dan kemanusiaan dibangunkan dengan penuh kesedaran tentang mesej dan keindahan.

Laras bahasa sastera berbeza daripada laras bahasa harian dan sains. Pemilihan kata yang teliti, unsur bunyi yang dijaga rapi dan irama yang tersusun indah membawa pembaca menikmati bahasa sastera.

Mesej yang disampaikan dengan bahasa yang terpilih memberi kekuatan keindahan kepada karya sastera dan menyuburkan penghayatan pembaca. Unsur denotasi dan konotasi membawa bahasa sastera ke lembah ketaksaan dan ketaksaan ini mengundang pentafsiran yang memberi ruang kepada pembaca untuk membina imaginasi dan korelasi bagi mendapat satu mesej mental dan imej ini muncul bersama dengan rangsangan emosi.

Ekoran itu, pembaca menikmati satu pengalaman estetik yang memberi nikmat yang tersendiri. Melalui bahasa, sastera dikarang dan digubah menjadi seni yang indah. Melalui bahasa yang terpilih, sastera menggambarkan kehidupan manusia yang halus dan dipersembahkan secara yang paling indah.

Sastera dapat menjadikan pembaca memahami kehidupan dengan lebih berfalsafah iaitu dapat menerima keperihalan tentang manusia dan masyarakat yang kadangkala sukar untuk dimengertikan oleh fikiran rasional. Sememangnya kehidupan manusia ini penuh dengan kemungkinan yang tidak terduga dan sastera mampu menjelaskannya.

Pengarang ialah manusia kreatif yang memiliki kemampuan berfikir, berimaginasi dan berbahasa untuk menghasilkan karya, sama ada puisi, novel, cerpen, ataupun drama. Manusia dan masyarakatnya ialah bahan mentah yang sangat penting kepada pengarang. Keperihalan manusia dan masyarakat menjadi ilham kepada pengarang untuk berkarya.

Maka, karya dilihat sebagai cermin masyarakat yang melalui proses pemilihan, pentafsiran, dan penilaian pengarangnya. Lantaran itu, karya sastera sangat menarik untuk dibaca bukan sangat hanya itu cermin kehidupan tetapi juga sebagai pandangan alternatif kepada apa-apa yang kita lihat dan fikirkan tentang manusia dan masyarakatnya.

Sastera membawa dunia baharu kepada pembaca dan dunia ini memperkaya pembaca dalam konteks emosi dan intelek. Sastera berupaya memberi pendidikan kepada emosi dan intelek pembaca. Pendidikan yang mampu dibawa oleh sastera ialah satu pengertian lama tentang erti sastera tetapi masih relevan iaitu erti sastera kepada kehidupan manusia.

-Tamat-