Categories
GLOBAL

Tiada rakyat Malaysia terlibat insiden di Jakarta

KUALA LUMPUR, 25 MEI: Wisma Putra mengesahkan tiada rakyat Malaysia terbabit dalam dua insiden letupan bom di Terminal Bas Kampung Melayu, Jakarta Timur, Indonesia malam tadi.

Kementerian Luar dalam kenyataan berkata, Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta sedang memantau rapi insiden itu dengan pihak berkuasa tempatan.

“Rakyat Malaysia yang berada di kawasan kejadian adalah dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan melaporkan diri dengan pihak Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, ” katanya.

Sementara itu, Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMMF) berasa sedih dan bersimpati dengan kejadian pengeboman di Indonesia itu.

Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Nasharudin Mat Isa, berkata pihaknya juga bimbang dengan insiden pengepungan di Bandar Marawi di Filipina oleh kumpulan Maute yang ada kaitan dengan militan Daesh merampas dewan bandar raya, membebaskan banduan penjara dan membakar tempat ibadat.

Sehubungan itu, katanya, GMMF berdoa dan menzahirkan rasa simpati kepada rakyat dan pemimpin di Indonesia serta Filipina.

“Serangan kejam oleh pengganas ini, yang hadir dalam tempoh singkat selepas berlaku insiden pengeboman nekad di Manchester Isnin lalu, menunjukkan kepentingan meneruskan gerakan kesederhanaan global dalam mempromosikan suara keamanan dan kesederhanaan,” katanya.

*Sumber: BH Online