Categories
NASIONAL

ABIM gerak kempen KSSB, sasar bantu 1,000 keluarga asnaf

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 7 JUN: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mensasarkan 1,000 keluarga asnaf, fakir, miskin dan mualaf untuk dibantu dalam Kempen Seorang Sekampit Beras (KSSB), sepanjang Ramadan ini.

Program bagi tahun ke-12 itu dijalankan badan bukan kerajaan (NGO) itu di seluruh negara bagi membantu golongan sasaran yang ditetapkan.

Setiausaha Agungnya, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, program KSSB digerakkan ABIM Pusat dan Negeri dengan setiap keluarga menerima bantuan kira-kira RM70 dalam bentuk barangan keperluan harian.

“ABIM menjalankan program ini dengan membantu golongan sasaran termasuk pelarian Rohingya dan Palestin bagi berkongsi kegembiraan, sepanjang Ramadan ini.

Jpeg

“Program dijalankan ini adalah keprihatinan ABIM kepada mereka semua dan kita menghulurkan bantuan walaupun tidak seberapa tetapi berterusan,” katanya kepada SelangorKini di PPT Taman Mulia, Bandar Tun Razak, di sini, semalam

Muhammad Faisal ditemui bersama kumpulannya ketika menghulurkan sumbangan kepada saudara baru, Muhammad Shafi Abdullah, 42.

Beliau menjelaskan, KSSB digerakkan dengan bantuan diberikan secara serahan dari rumah ke rumah selain menjalankannya bersama Jabatam Kebajikan Masyarakat dan komuniti tertentu juga kariah masjid.

“ABIM juga membuka pusat serahannya sendiri bagi memudahkan bantuan itu disalurkan dan sampai kepada kumpulan sasaran,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Shafi berkata, keluarganya menghargai keprihatinan ABIM yang menghulurkan bantuan itu, setiap tahun.

“Saya gembira kerana tidak pernah dilupakan ABIM dan ini membuktikan hubungan persaudaraan sesama Islam itu kukuh dan erat. Terima kasih ABIM atas bantuan dihulurkan ini, ” kata kelintan lori yang memeluk Islam pada 2008 diikuti isterinya, Nur Shafirah Rajasingam Abdullah, 39, selepas itu.

Pasangan suami isteri itu mempunyai tiga anak iaitu Muhammad Shazrul, 14; Muhammad Ahazlan, 12 dan Nur Shameera Danisha (2).