Categories
SELANGOR

MPAJ – komuniti bangun perbandaran bersama

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 7 JUN: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mendukung pendekatan dilaksanakan Kerajaan Negeri untuk mewujudkan dasar ‘Citizen Enggagement’ dalam komunitinya.

Yang Dipertua MPAJ, Abdul Hamid Hussein berkata, pembaikan inisiatif itu dilaksanakan menerusi penganjuran program komuniti bagi mendapatkan sebarang maklumbalas setempat.

“Program-program mendekatkan Pihak Majlis dan masyarakat diaturkan sepanjang tahun antaranya program berbasikal, program bersama pelajar, aktiviti gotong royong, majlis dialog, program pembasmian denggi dan banyak lagi.

ydp-mpaj-abd-hamid-hussain“Tidak ketinggalan turut diadakan program fokus yang memberi tumpuan terhadap penerangan kursus kepada penduduk kawasan rumah bertingkat terhadap isu-isu berbangkit,” katanya dalam kenyataan kepada SelangorKini.

Dalam perkembangan sama katanya, pelaksanaan itu turut mendapat maklumbalas positif masyarakat ke arah pembaikan pengurusan perbandaran MPAJ.

“Maklumbalas positif ini akan diterjemahkan menerusi pelan tindakan dan perancangan jangka panjang MPAJ untuk kekal membangunkan perbandaran ini,” katanya.

Terdahulu, ‘Citizen Enggagement’ antara komponen dibangunkan dalam pelaksanaan Inisiatif Peduli Rakyat yang memberi tumpuan terhadap pelaksanaan kebajikan masyarakat bandar dan pinggir bandar seluruh negeri.

Tumpuannya turut menekankan kualiti hidup rakyat dapat dipertingkatkan ke arah mengekalkan status negeri maju dan terus disegani.

Ia dilaksanakan sebagai sebahagian agenda Smart Selangor bagi merealisasikan Selangor sebagai negeri pintar, menjelang 2025.