Categories
NASIONAL

Daftar E-Kad PATI atau berdepan hukuman sebat

BANTING, 14 JUN: Majikan yang menggaji pendatang asing tanpa izin diingatkan supaya segera mendaftarkan mereka dalam program E-Kad (Enforcement Card) sebelum 30 Jun ini atau berdepan hukuman sebat.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, hukuman itu boleh dikenakan kepada majikan yang didapati masih menggaji sekurang-kurangnya lima pendatang haram atau dikompaun RM10,000 bagi setiap seorang daripada mereka selepas tarikh tutup berkenaan.

Katanya, penguatkuasaan terbabit dibuat ekoran terdapat ramai majikan yang gagal berbuat demikian walaupun pelbagai usaha dibuat sejak empat bulan lalu.

“Mulai 1 Julai, kita akan laksanakan sepenuhnya penguatkuasaan.

“Kita sarankan mereka buat pendaftaran bukan di saat akhir bagi mengelakkan kesesakan di mana-mana pejabat imigresen seluruh negara,” katanya lapor BERNAMA.

Mustafar berkata, sejak mula dilaksanakan, pejabat Imigresen pernah merekodkan sehingga 2,000 pendaftaran sehari dan jumlah itu dijangka meningkat di saat-saat akhir dari tarikh tutup itu.

PATIBagaimanapun, katanya, jabatan berkenaan akan tetap berusaha menyelesaikan proses pendaftaran secara percuma itu secepat mungkin, termasuk menambah kakitangan pada waktu puncak jika perlu.

“Sehingga 7 Jun lalu, 104,507 pendaftaran E-Kad dikeluarkan jabatan itu dengan hanya membabitkan 10 peratus dari 400,000 ke 600,000 pendatang tanpa izin yang disasar untuk berdaftar.

“Faktor majikan masih enggan mendaftarkan pendatang haram yang digaji kerana merasakan mereka mampu ‘terlepas’ daripada elemen penguatkuasaan selain amalan suka bertangguh sehingga saat akhir,” katanya.

Pada masa sama, Mustafar berkata, pihaknya akan mempertingkatkan penguatkuasaan di 137 pintu masuk ke negara ini sama ada melalui darat, udara mahupun laut sepanjang sambutan Aidilfitri nanti.

“Tidak kira Ramadan, Aidilfitri dan sambutan perayaan lain termasuk hari biasa, anggota serta pegawai Imigresen tetap melakukan operasi secara berterusan membanteras pendatang tanpa izin,” katanya.