Categories
SELANGOR

Dana Wakaf Ilmu UPM jaya pendidikan pelajar miskin

OLEH HAFIZAN TAIB

SERDANG, 2 JUN: Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya mengutip sumbangan RM8 juta menerusi Dana Wakaf Ilmu yang diwujudkan sejak 2011, bagi tujuan pendidikan.

Naib Canselor UPM, Prof Datin Paduka Dr Aini Ideris berkata, pihaknya berterima kasih kepada semua penyumbang wakaf itu dan berharap mereka dibalas dengan kebaikan di dunia dan akhirat.

“Hasrat utama dana ini diwujudkan untuk pembiayaan pendidikan bagi generasi akan datang terutama golongan miskin, justeru bagi 2016, dana ini menyediakan kemudahan biasiswa kepada pelajar asasi sains pertanian, diploma, sarjana muda, biasiswa khas OKU, dermasiswa, fasiliti dan yang lain,” katnya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Berbuka Puasa dan Solat Terawih bersama DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Masjid UPM, di sini, semalam.

Turut hadir, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

3519_bmDana Wakaf Ilmu disempurnakan pelancarannya oleh Sultan Selangor selaku Tuanku Canselor UPM, pada 16 Ogos 2011.

Beliau berkata, kehadiran baginda ke majlis itu secara berterusan, memberi semangat kepada warga UPM dalam mengurus kemajuan dan kejayaan.

Di samping itu, katanya, UPM akan berasa dekat dengan masyarakat kerana universiti berperanan terhadap kewujudan peradaban bangsa unggul di Selangor.

“Penghayatan konsep ‘IHSAN’ setiap warga UPM akan dapat memastikan kerja diamanahkan mampu dilaksanakan dengan sebaiknya kerana kita sedar Allah SWT sentiasa mengawasi dan Maha Melihat,” katanya.