Categories
SELANGOR

Dekati warga KL, Sultan Selangor solat Jumaat di Kampung Baru

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR, 16 JUN : Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat menunaikan Solat Jumaat di Masjid Jamek, Kampung Baru bersama masyarakat di kampung itu.

Keberangkatan baginda diiringi DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah kira-kira jam 1.00 tengah hari disambut Exco Ehwal Agama Islam, Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi dan Pengarah Jabatan Agama Islam (JAIS) Dato’ Haris Kasim.

CP2A6217-1024x683Rata-rata jemaah hadir tidak melepaskan peluang bersalaman bersama baginda di atas perkenan tuanku mencemar duli berangkat ke masjid yang terletak di tengah-tengah ibu kota Kuala Lumpur.

Dalam perkembangan itu, Sultan Sharafuddin turut berkenan berkongsi pandangan bersama pengurusan masjid demi ke arah pembaikan dan pembangunan ummah masyarakat Islam di negara ini.

Terdahulu, keberangkatan tiba baginda di sini merupakan sebahagian daripada program tahunan lawatan rasmi baginda ke Masjid di Selangor dan Kuala Lumpur.

Sementara itu, Masjid Jamek Kampung Baru sebelum ini dibangunkan atas keperluan institusi rumah ibadat masyarakat Islam di tengah kota Kuala Lumpur.

Dibina sekitar 1880 an, masjid berkenaan kini sering menjadi tumpuan masyarakat setempat dan tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara.