Categories
NASIONAL

Hanya 25% PATI daftar E-Kad

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 30 JUN: Hanya 25 peratus daripada sasaran 600,000 pendatang asing tanpa izin (PATI) tampil untuk membuat permohonan ‘Enforcement Card (E-Kad), kata Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali.

Beliau berkata, seramai 154,328 PATI melibatkan 26,738 majikan sudah membuat permohonan dan sebanyak 138,970 E-Kad dikeluarkan, setakat jam 7.50 malam semalam.

“Jumaat (hari ini) adalah hari terakhir permohonan E-Kad dan jumlah ini adalah jauh daripada sasaran asal 600,000 PATI.

“Saya kecewa kerana majikan yang menggaji PATI tidak mengambil peluang ini untuk ‘legalise’ pekerja mereka,” katanya dipetik Astro Awani.

Mustafar berkata, Jabatan Imigresen akan membuat operasi besar-besaran bermula 1 Julai (Sabtu) untuk menahan dan mengusir PATI yang gagal mendaftar keluar dari negara ini.

Katanya, sikap majikan dan PATI yang memilih untuk tampil mendaftar pada saat-saat akhir juga amat mengecewakan, sehingga Jabatan Imigresen terpaksa membuka kaunter sehingga pukul 3 pagi.

“Hari ini (semalam) sahaja yang datang antara 3,000 hingga 4,000 orang sedangkan sebelum ini purata yang datang sehari hanya antara 800 hingga 1,000 orang.

“Terdapat individu yang melakukan provokasi terhadap pegawai Imigresen apabila terpaksa menunggu lama sedangkan itu pilihan mereka sendiri untuk datang saat akhir,” katanya.

Sejak Februari lalu, program E-Kad dikeluarkan secara percuma bertujuan mendaftarkan dan membolehkan PATI mendapat permit kerja selepas melalui beberapa prosedur ditetapkan Kementerian Dalam Negeri.

=EZY=