Categories
PBT SELANGOR

Anugerah Bandar Mampan, MDKL komited tingkat kualiti perkhidmatan

OLEH HAFIZAN TAIB

BANTING, 30 JUN: Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) meneruskan kecemerlangan dalam pentadbiran apabila muncul salah satu pihak berkuasa tempatan (PBT) yang berjaya meraih Anugerah Bandar Mampan 2016.

Yang Dipertuanya, Mohamad Zain A Hamid, berkata pencapaian diraih itu adalah antara yang terbaik bagi MDKL dan pihaknya komited memberikan perkhidmatan membanggakan kepada masyarakat bersesuaian dengan agenda Kerajaan Negeri.

“Pencapaian ini adalah hasil usaha keras semua di MDKL dalam mengekalkan pencapaian diraih sebelumnya dalam memenuhi kehendak masyarakat dan pihak berkaitan di sini,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, katanya, kejayaan itu juga membuktikan komitmen tinggi MDKL dalam mencapai sasaran menjadi sebuah Majlis Perbandaran.

“Ia pastinya mampu menjadikan seluruh warga kerja MDKL terus berdedikasi tinggi dalam usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan.

“Kita akan terus berusaha terhadap kemajuan lebih baik pada masa akan datang,” katanya.

Pada tahun lalu, MDKL meraih anugerah itu bagi Program Pengukuran Bandar Mampan Malaysia daripada Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Pencapaian terbabit juga adalah salah satu perancangan PBT itu dalam Pelan Strategik MDKL 2016 – 2020 ke arah menjadikan “Kuala Langat Perbandaran Maju, Dinamik, Lestari dan Terbilang Menjelang 2020”.

=EZY=