Categories
SELANGOR

Jumlah mangsa banjir Hulu Langat turun

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 19 JUN: Jumlah terkini mangsa banjir di Hulu Langat adalah seramai 358 mangsa daripada 87 keluarga setakat 10 pagi tadi.

Jumlah itu dilihat menurun berbanding 440 orang daripada 111 keluarga semalam apabila keadaan banjir semakin surut dan mangsa mula pulang kerumah masing-masing.

Sebanyak empat pusat pemindahan dibuka bagi menempatkan kesemua mangsa banjir tersebut antaranya di Dewan Wanita Kg Bestari Sg Michu, SK Sungai Serai, Dewan Orang Ramai Taman Seri Nanding dan Kompleks Penghulu Batu 10.

IMG_4629Terdahulu dilaporkan, kira-kira 190 orang terperangkap dalam banjir yang berlaku di Sungai Serai, Batu 14 dan Kampung Dusun Tua akibat hujan lebat sejak 2 petang, 17 Jun lalu.

Komander Operasi Bomba, Mohd Syafiq Ramli berkata, taburan hujan lebat tanpa henti di Hulu Langat sejak petang semalam mengakibatkan beberapa tempat di kawasan itu dinaiki air.

“Sungai Serai merupakan kawasan paling tinggi dinaiki air iaitu melebihi satu meter.

“Setakat ini seramai 167 mangsa daripaa 37 keluarga mangsa yang terlibat di kawasan Kampung Sungai Serai,” katanya ketika ditemui Selangor Kini di Balai Polis Batu 14, Hulu Langat, semalam.