Categories
SELANGOR

Kes denggi turun 14%

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 20 JUN: Sebanyak 24,792 kes demam denggi dilaporkan di seluruh Selangor, setakat 17 Jun lalu, kata Dr Daroyah Alwi.

Exco Kebajikan, Kesihatan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga itu berkata, jumlah terkini menunjukkan pengurangan sebanyak 4,187 kes bersamaan 14 peratus dalam tempoh sama, tahun lalu.

Katanya, kadar kes kematian juga menunjukkan pengurangan sebanyak lapan kes bersamaan 17 peratus berbanding 2016.

“Walaupun kes demam denggi dan kematian masih rendah berbanding tahun 2016, statistik terkini tetap membimbangkan kerana trend pada masa ini menunjukkan peningkatan berbanding trend pada 2016 yang menunjukkan penurunan.

DAROYAH DENGGI“Pada masa ini, daerah Hulu Langat menunjukkan bilangan kes dan kes kematian tertinggi berbanding daerah Petaling,” katanya dalam kenyataan.

Daroyah berkata, denggi bukan isu yang hanya dipertanggungjawabkan kepada Kerajaan Negeri ataupun Jabatan Kesihatan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan sahaja.

“Perkara ini adalah tanggungjawab bersama bagi memastikan kawasan persekitaran sentiasa bersih dan tidak mempunyai tempat pembiakan nyamuk Aedes,” katanya.

Untuk tahun ini, sejumlah RM5 juta diperuntuk bagi aktiviti kawalan dan pencegahan Denggi dan Zika di mana sebahagian besar dibelanjakan untuk melantik Pest Controller Operator (PCO) di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Kerajaan Negeri turut menyalurkan sejumlah RM1.2 juta kepada PBT dan RM560,000 kepada semua Ahli Dewan Negeri (ADN) untuk bersama-sama dengan masyarakat melaksanakan aktiviti gotong-royong serta pembersihan kawasan sekeliling.

Selain itu, semua Pegawai Daerah dan Tanah (PDT) diarah untuk mempengerusikan Mesyuarat Tindakan Denggi peringkat daerah bagi membincang dan menyelesaikan masalah denggi di kawasan masing-masing.

Untuk tujuan itu, sejumlah RM350,000 disalur kepada semua PDT bagi memastikan semua masalah boleh diselesaikan dengan segera tanpa alasan kekurangan peruntukan.