Categories
SELANGOR

Lunas zakat, imarah keberkatan hidup

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR, 16 JUN : Masyarakat Islam seluruh negeri diwajibkan menunaikan tanggungjawab mengeluarkan zakat fitrah seiring tuntutan Islam terhadap mereka yang berkemampuan menunaikan rukun Islam keempat itu.

Exco Ehwal Agama Islam, Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, ia sebagai jaminan mencari keredhaan Allah di sepanjang Ramadan penuh nikmat ini.

“Ini kewajipan kita, sebagai seorang Islam yang dituntut menunaikan zakat fitrah. Kewajipan ini sedikit sebanyak dapat membantu mereka yang kurang berkemampuan meneruskan kehidupan yang lebih baik.

yunuskhairi-web4“InsyaAllah, melaksanakan tanggungjawab ini pastinya tersimpan seribu rahmat dan keberkatan dari Allah ke arah mensejahterakan bumi Islam yang kita cintai ini,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau ditemui selepas mengiringi Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang berkenan mencemar duli menunaikan Solat Jumaat di Masjid Jamek Kampung Baru, petang ini.

Terdahulu, masyarakat Islam seluruh negeri berkelayakan diwajibkan mengeluarkan zakat pada kadar, RM7 seorang.

bayaran-zakatLembaga Zakat Selangor (LZS) sebelum ini melantik 2,600 ketua dan penolong amil fitrah sepanjang Ramadan ini bagi tujuan kutipan zakat fitrah seluruh negeri.

LZS juga membuka 28 cawangannya di seluruh negeri, tujuh hari seminggu dari jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang untuk hari bekerja dan dari jam 9 pagi hingga 3 petang untuk hari Sabtu, Ahad serta cuti umum.

Dalam perkembangan lain, LZS mensasarkan kutipan zakat fitrah sebanyak RM22.5 juta daripada umat Islam di negeri itu.